UNDIAN peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah. FOTO AFP
UNDIAN peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah. FOTO AFP
AFP

Istanbul: Bayern Munich diundi bersama pasukan baharu Robert Lewandowski iaitu Barcelona pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), selepas sesi undian di Istanbul, malam tadi.

Selain itu, Erling Haaland yang kini mewakili Manchester City akan berdepan kelab lamanya, Borussia Dortmund.

Bayern dan Barcelona diundi bersama Inter Milan dan juara Czech, Viktoria Plzen dalam Kumpulan C.

Bayern menewaskan Barcelona 8-2 di suku akhir di Lisbon pada 2020 dan kelab Catalans itu tewas 0-3 sebanyak dua kali kepada juara Jerman itu, ketika mereka tersingkir di peringkat kumpulan, musim lalu.

Lewandowski, 34, menyertai Barcelona pada hujung musim dengan nilai 50 juta euros (RM222.95 juta) selepas menjaringkan 344 gol selama lapan musim di Bayern.

"Hanya bola sepak melakar cerita seperti itu," kata Pengarah Sukan Bayern, Hasan Salihamidzic.

"Barcelona semakin kuat. 'Lewy' berada di sana. Mereka melakukan satu atau dua perkara besar ketika perpindahan pemain. Ia pasti perlawanan yang menarik."

Haaland meninggalkan Dortmund untuk menyertai juara Liga Perdana Inggeris (EPL), City pada hujung musim.

Kedua-dua pasukan itu akan menentang Sevilla dan juara Denmark, FC Copenhagen dalam Kumpulan G.

Kali terakhir City dan Dortmund bertemu adalah di suku akhir UCL pada 2021, apabila anak buah Pep Guardiola terus mara dengan kemenangan agregat 4-2. City turut menewaskan Sevilla dua kali di peringkat kumpulan pada musim 2015/16.

Pasukan yang kecundang di final musim lalu, Liverpool akan berdepan Ajax, Napoli dan Rangers dalam Kumpulan A manakala juara bertahan, Real Madrid akan berdepan Celtic, RB Leipzig dan Shakhtar Donetsk dalam Kumpulan F.

Ini adalah kali ketiga Real dan Shakhtar diletakkan dalam kumpulan sama. Berikutan perang masih meletus di Ukraine, Shakhtar akan bermain perlawanan selaku tuan rumah di ibu negara Poland, Warsaw.

Liverpool berdepan Ajax di peringkat kumpulan dua tahun lalu dan anak buah Jurgen Klopp menentang Napoli pada 2019.

Manakala Rangers yang kembali ke kejohanan kelab elit di Eropah buat kali pertama selepas 12 tahun - pada musim 2010/11 mereka seri 0-0 dengan Manchester United di Old Trafford, tetapi pada 2012 mereka tersisih ke liga bahagian empat Scotland kerana masalah hutang yang menyebabkan pembubaran pasukan.

Selepas layak ke final Piala Europa musim lalu, anak buat Giovanni van Bronckhorst menyingkirkan PSV Eindhoven pada aksi play-offs, kelmarin untuk layak ke peringkat kumpulan UCL.

Manakala Paris Saint-Germain akan bertemu Juventus, Benfica dan juara Israel, Maccabi Haifa dalam Kumpulan H.

Juara Eropah 2021, Chelsea akan berdepan juara Serie A, AC Milan selain Red Bull Salzburg dan Dinamo Zagreb dalam Kumpulan E manakala Tottenham Hotspur berdepan juara Liga Europa musim lalu, Eintracht Frankfurt serta Sporting Lisbon dan Marseille dalam Kumpulan D.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2022 @ 7:48 AM