Harry Maguire (kiri) dan Cristiano Ronaldo tonggak Manchester United. FOTO Agensi
Harry Maguire (kiri) dan Cristiano Ronaldo tonggak Manchester United. FOTO Agensi
Agensi

London: Pengendali sementara Manchester United, Ralf Rangnick menafikan perebutan lilitan kapten pasukan antara Harry Maguire dan Cristiano Ronaldo malah menyifatkan ia tidak masuk akal.

Laporan The Mirror menyatakan dua pemain itu berebut untuk memegang jawatan kapten kelab.

Rangnick berkata dia dimaklumkan mengenai apa yang ditulis dan dia tidak kecewa mengenai laporan itu kerana mengetahui ia perkara yang tidak benar.

"Ia langsung tidak masuk akal - saya tidak pernah bercakap kepada pemain mengenai tugas kapten pasukan," kata pengendali Jerman itu.

"Ia tidak pernah menjadi isu buat saya. Harry adalah kapten kami dan dia akan kekal sebagai kapten kami."

Maguire diberikan tugas kapten oleh bekas bos mereka, Ole Gunnar Solskjaer sejak dua tahun lalu tetap terdapat beberapa cadangan agar ia ditukar selepas kepulangan semula pemain berusia 37 tahun, Ronaldo.

Maguire pemain pertahanan England memberi maklum balas di media sosial menyatakan laporan berkenaan adalah tidak benar dan dia serta rakan sepasukan sangat bersatu malah memberi tumpuan bagi perlawanan menentang Leeds United malam esok.

"Saya langsung tidak kecewa kerana saya tahu ia adalah tidak benar," tambah Rangnick.

"Saya tidak mengendahkan khabar angin itu kerana saya memberi tumpuan kepada mempersiapkan pasukan.

"Saya mendengar daripada apa yang dilaporkan. Ya, ada pemain yang tidak gembira pada penghujung jendela perpindahan. Ini semakin baik dan suasana di dalam bilik persalinan bertambah baik berbanding beberapa minggu lalu.

"Ia adalah mengenai beraksi dengan baik dan menunjukkan kerjasama di atas padang. Ia memberi pengaruh yang cukup besar."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Februari 2022 @ 9:24 AM