AZALINULLAH (kiri) ketika sesi latihan di Padang C, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak. FOTO Ghazali Kori
AZALINULLAH (kiri) ketika sesi latihan di Padang C, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas hampir semusim terpaksa gantung but kerana mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL), pemain meningkat naik Terengganu FC (TFC), Mohammad Azalinullah Mohammed Alias tekad untuk kembali bersaing merebut posisi tengah pasukan.

Bekas produk Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) berusia 26 tahun itu akui prestasinya kini berada pada tahap terbaik untuk kembali membantu skuad kendalian Nafuzi Zain memburu impian yang disasarkan pihak pengurusan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd musim ini.

"Dalam saingan Liga Super musim lalu, saya hanya sempat beraksi dua perlawanan sahaja sebelum terpaksa diusung keluar ketika menentang Melaka United (MU) selepas mengalami kecederaan lutut dan disahkan terpaksa berehat panjang.

"Jadi musim ini saya doakan agar kecederaan lama tidak lagi berulang kerana misi saya sudah pasti untuk membantu negeri kelahiran sekurang-kurangnya menjulang satu trofi kejuaraan.

"Lagipun saya kini sudah bersedia sepenuhnya dengan keazaman tinggi untuk kembali lebih baik daripada musim sebelumnya dan seterusnya mengintai peluang berada dalam kesebelasan utama pasukan.

"Namun saya akui bukan tugas mudah untuk bersaing merebut tempat ditambah dengan kehadiran dua tonggak tengah import selain pemain tempatan berkualiti, saya jangkakan persaingan pasti lebih sengit kerana masing-masing ada kelebihannya yang tersendiri.

"Bagaimanapun saya akan cuba yang terbaik ketika sesi latihan dan perlawanan pramusim manakala selebihnya terpulang kepada perancangan barisan kejurulatihan," kata bekas pemain skuad kebangsaan Bawah 19 Tahun (B-19) itu ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, pemain yang pernah menyarung jersi kelab T-Team dan Petaling Jaya Rangers (PJ Rangers) itu berkata, selain membantu TFC, misi besarnya adalah untuk 'mengetuk pintu' skuad kebangsaan.

"Inilah impian saya sejak kecil lagi, begitu juga dengan arwah ayah yang mahukan saya beraksi bersama skuad Harimau Malaya.

"Harapan saya tahun ini bakal membuka lembaran baharu untuk mencabar diri menyarung jersi skuad negara," kata anak keempat daripada enam beradik itu yang melihat skuad Penyu mempunyai aura untuk merangkul kejuaraan berdasarkan pemain yang ada.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 12:52 PM