Philippe Coutinho (kanan) dan Steven Gerrard ketika beraksi di Liverpool pada 2014. FOTO Reuters
Philippe Coutinho (kanan) dan Steven Gerrard ketika beraksi di Liverpool pada 2014. FOTO Reuters
AFP

London: Pengendali Aston Villa, Steven Gerrard melabelkan Philippe Coutinho pemain yang tidak ternilai selepas bintang Brazil itu melengkapkan pemeriksaan perubatan menjelang perpindahan secara pinjaman dari Barcelona.

Villa mengesahkan Coutinho lulus perubatannya dan dia berada di Perancis bagi memperoleh permit kerja.

Pemain berusia 29 tahun itu dijangka menyertai rakan sepasukan barunya di pusat latihan Bodymoor Heath esok.

Gerrard beraksi bersama Coutinho di Liverpool dan percaya pemain tengah itu akan memberikan impak besar ketika kembali semula ke saingan Liga Perdana.

"Kehadirannya sangat tidak ternilai, kecederaan pemain dan kejohanan AFCON menyebabkan kami kekurangan pilihan di bahagian serangan," kata Gerrard menerusi laman web Villa.

"Dia seorang pemain yang saya seronok dapat beraksi bersama sebelum ini dan saya tahu sebahagian daripada skuad di Aston Villa akan mendapat manfaat daripada kualiti dan pengalamannya."

Villa menandatangani Coutinho secara pinjaman bagi baki musim ini dan dengan pilihan pembelian pada musim panas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 6:52 AM