STEVEN Gerrard. FOTO AFP
STEVEN Gerrard. FOTO AFP
AFP

London: Steven Gerrard mengakui lebih rela meraih kemenangan bersama Aston Villa berbanding dijulang sebagai wira dekat Liverpool apabila kedua-dua pasukan bertemu di Anfield, esok.

Gerrard yang melalui karier panjang selama 17 tahun di Liverpool, akan kembali ke kelab itu selaku pengurus Villa yang bertekad untuk mengecewakan tuan rumah.

Legenda berusia 41 tahun itu yang meninggalkan Rangers bulan lalu untuk berhijrah ke Liga Perdana, sudah memenangi tiga daripada empat perlawanan sepanjang membimbing Villa.

"Saya kembali ke kelab di mana saya menghabiskan karier bersama mereka dan memberikan senyuman kepada setiap orang.

"Saya mempunyai hubungan yang baik dengan orang di sekeliling kelab. Saya melalui detik yang menakjubkan di sana.

"Liverpool adalah kelab yang saya sokong dan akan sentiasa memberi sokongan kepada mereka.

"Tetapi ia juga membuatkan saya tersenyum kerana berpeluang untuk pergi ke sana bertemu pasukan serta pengurus yang hebat dan cuba untuk memenangi perlawanan itu. Hanya ini fokus saya ketika ini.

"Jika saya kembali nanti dan bukan menjadi individu popular di Anfield, saya tak kisah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 10:45 PM