Tan Cheng Hoe (tengah) mengendali latihan skuad kebangsaan. FOTO File NSTP
Tan Cheng Hoe (tengah) mengendali latihan skuad kebangsaan. FOTO File NSTP
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Keputusan drastik jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe melepaskan jawatan mungkin kerana tidak sanggup lagi berhadapan tekanan daripada peminat.

Lebih parah lagi apabila peminat dilihat begitu kecewa terutama selepas skuad negara gagal menyerlah pada saingan Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2020 di Singapura minggu lalu.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, apa yang dapat dilihat ialah dia (Cheng Hoe) mungkin tidak sanggup lagi berhadapan tekanan yang terus terpaksa dipikul.

Katanya, peminat begitu inginkan kejayaan diraih skuad Harimau Malaya namun ia berlaku sebaliknya, kekecewaan peminat sentiasa bertambah dan bertambah.

Luahan rasa kecewa dilontarkan menggunakan saluran media.

"Keputusan Cheng Hoe meletakkan jawatan sebagai jurulatih skuad kebangsaan merupakan keputusan peribadi beliau, pihak lain tidak seharusnya campur tangan.

"Susah untuk saya menyediakan jawapan yang tepat dalam perkara ini..sebab keputusan berkenaan berada diatas tangan dia (Cheng Hoe).

"Yang pasti Cheng Hoe telah memikirkan semasak-masaknya tindakan yang diambil itu," kata bekas pertahanan negara itu.

Jamal Nasir menambah, bebanan melatih pasukan negara tidak sama dengan tekanan membimbing pasukan negeri, setiap keputusan skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa diberi perhatian peminat seluruh negara.

Katanya, tanpa kekuatan mental agak sukar untuk seseorang jurulatih untuk terus memikul jawatan berkenaan terutama sekali apabila gagal mencatat kejayaan diharapkan.

"Saya pernah mengalas jawatan sebagai jurulatih pasukan Pahang sebelum ini, tekanan yang diterima begitu berat. Peminat inginkan kejayaan pada setiap perlawanan dilalui... apabila pasukan gagal pelbagai tohmahan dilepaskan.

"Saya yakin semua jurulatih berhadapan dengan perkara sama, justeru bukan mudah memikul tugas sebagai jurulatih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 7:47 PM