MALONEY ketika mengendalikan sesi latihan anak buahnya.
MALONEY ketika mengendalikan sesi latihan anak buahnya.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Brad Maloney tidak pernah meragui kemampuan pemain muda negara yang disifatkannya memiliki keistimewaan tersendiri dan mampu mengharungi segala cabaran sepanjang musim ini.

Berdasarkan jadual tugasan membabitkan skuad B-23 untuk tahun ini, anak didik Maloney bakal menyertai sekurang-kurangnya empat pertandingan besar bermula dengan saingan Piala AFF B-23 di Kemboja Februari ini.

Ia kemudian diikuti dengan temasya Sukan Sea di Vietnam pada Mei, disusuli pusingan akhir Piala Asia di Uzbekistan sebulan kemudian sebelum diakhiri dengan saingan Sukan Asia di Hangzhou, China, September depan.

Malah terbaharu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut memberi kepercayaan buat pasukan bimbingan Maloney mengisi kekosongan ditinggalkan skuad senior negara dalam kalendar aksi antarabangsa hujung bulan ini, sebagai persediaan sebelum ke Piala AFF bulan depan.

"Sudah tentu kami mahu mencapai matlamat tahap tertinggi dan menguji pemain kami menentang yang terbaik di Asia. Saya mempunyai kepercayaan luar biasa terhadap kelompok pemain pasukan ini, dan pasti pasukan ini boleh menjadi sangat kompetitif dalam mana-mana kejohanan yang kami sertai," katanya kepada Arena Metro.

Beliau berkata, dalam masa terdekat ini pihaknya akan mengadakan mesyuarat bersama pengurusan pasukan untuk merangka persiapan terbaik sebelum menyertai Piala AFF nanti.

"Saya akan bermesyuarat dengan pihak pengurusan pada Khamis ini untuk mengesahkan dan mendapatkan segala butiran ini (persiapan pasukan). Mungkin lebih baik saya komen selepas itu," katanya.

Ketika ini, skuad B-23 negara berada dalam momentum terbaik untuk menebus kehampaan skuad 'abang' yang terkandas di peringkat Kumpulan B Piala AFF di Singapura bulan lalu.

Prestasi pasukan muda negara dilihat pada tahap terbaik selepas layak secara merit ke Piala Asia B-23 selepas muncul juara kumpulan di peringkat kelayakan yang dilangsungkan di Mongolia pada Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 10:44 PM