RONALDO bersama presiden kelab Sergio Santos Rodrigues. -FOTO AFP
RONALDO bersama presiden kelab Sergio Santos Rodrigues. -FOTO AFP
AFP

Rio de Janeiro: Bekas penyerang Brazil, Ronaldo berkata bahawa dia akan membeli Cruzeiro, iaitu kelab dia membuat penampilan sulung sebagai pemain profesional namun kini sedang bergelut dalam Serie B Brazil selama dua musim.

"Saya gembira dapat memuktamadkan perjanjian ini," kata pemain berusia 45 tahun itu dalam video yang disiarkan dalam media sosial oleh presiden kelab, Sergio Santos Rodrigues.

"Banyak yang perlu saya berikan kepada Cruzeiro untuk membawa Cruzeiro ke tempat yang sepatutnya mereka berada," kata Ronaldo sambil memegang baju kelab yang bernombor sembilan dengan nama samaran 'Fenomeno' di belakang.

"Banyak kerja menanti kami. Saya meminta peminat untuk kembali menyokong kelab dan datang ke stadium kerana kami memerlukan banyak kekuatan dan sokongan anda. Kami mempunyai banyak kerja dan cita-cita untuk menjadikan Cruzeiro hebat semula."

Globoesporte.com melaporkan Ronaldo membayar kira-kira 60 juta euro (RM284.52 juta) untuk menjadi pemegang saham utama kelab itu.

Dia sudahpun mempunyai pegangan kawalan yang diperoleh pada 2018 dalam kelab Sepanyol, Valladolid yang diturunkan ke divisyen dua musim lalu.

Ronaldo yang berasal dari Rio de Janeiro, menyertai Cruzeiro di Belo Horizonte, membuat penampilan di peringkat profesional pertama pada 1993 ketika berusia 16.

Dia menjaringkan 56 gol dalam 58 perlawanan untuk kelab yang dipanggil dalam skuad Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat di mana dia berjaya meraih pingat tanpa bermain satu minit pun.

Selepas Piala Dunia Cruzeiro menjual Ronaldo ke PSV Eindhoven.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 10:23 AM