SHAHREL masih belum dapat meledak gol. FOTO FAM
SHAHREL masih belum dapat meledak gol. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Singapura: Siapa tidak mahu menjaringkan gol dan mencetak nama selaku penjaring, lebih-lebih lagi apabila menyarung jersi skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Namun rezeki nyata belum memihaknya dan sudah tentu pemain terbabit juga kecewa dan kekecewaan itu bukan sedikit.

Mungkin itulah perasaan yang dirasai penyerang negara, Shahrel Fikri ketika ini yang amat kecewa apabila mensia-siakan sekurang-kurangnya tiga peluang untuk mencipta jaringan ketika menentang Laos, Khamis lalu.

Shahrel, 27, yang masuk selaku pemain gantian pada babak kedua memiliki peluang keemasan untuk mencetak gol namun percubaannya gagal menemui jaring lawan.

Kekecawaan itu dikongsikan olehnya di laman sosial apabila ayam tambatan Selangor FC itu memohon maaf kepada seluruh penyokong bola sepak tempatan.

"Maaf", tulisnya bersama emoji sedih dan bendera Malaysia.

Dalam aksi dengan Laos itu, skuad negara mencatat kemenangan besar 4-0 dengan Safawi Rasid meletak hatrik disamping tonggak pertahanan tengah, Shahrul Saad turut menyumbang satu gol.

Lantas, susulan kejayaan Shahrul merobek gawang lawan itu, netizen mula meninggalkan komen-komen nakal yang mahu Shahrel belajar daripada Shahrul bagaimana untuk menjaringkan gol yang mungkin menambah kesedihan di hati penyerang terbaik Liga Malaysia musim lalu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 5:45 PM