AKSI Safawi  meraikan jaringan ketika menentang Laos. FOTO AFF
AKSI Safawi meraikan jaringan ketika menentang Laos. FOTO AFF
Firdaus Hashim


Singapura: Superwi sudah kembali! Itu laungan hampir 200 penyokong skuad Harimau Malaya di Stadium Bishan, di sini apabila bintang bola sepak negara, Safawi Rasid mengganas dengan meledak hatrik untuk membantu pasukan negara menang 4-0 ke atas Laos.

Safawi, 24, yang pernah berguru di Portugal bersama Portimonense SC selama tiga bulan hujung musim lalu, mengalami kemerosotan prestasi sepanjang musim ini di Liga Malaysia.

Namun segala-galanya berubah di kempen Piala AFF apabila menjadi duri dalam daging buat Laos yang mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam Kumpulan B itu.

Seperti dilaporkan Arena Metro semalam, pengendali negara Tan Cheng Hoe membuat perubahan taktikal dengan membariskan rangkaian tonggak tempatan di jentera depan.

Daripada aksi pertama ketika menang ke atas Kemboja dengan 3-1 Isnin lalu, Cheng Hoe merehatkan pemain naturalisasi, Guilherme de Paula dan sebaliknya mempertaruhkan penyerang muda negara yang beraksi bersama KV Kortrijk di Liga Belgium, Luqman Halim Shamsudin.

Selain Luqman, pemenang Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) musim ini, Arif Aiman Hanapi turut diberi peluang dalam kesebelasan utama dan merehatkan Akhyar Rashid yang beraksi cemerlang ketika menentang Kemboja Isnin lalu.

Percaturan itu membuahkan hasil apabila Malaysia berjaya mendahului seawal minit keenam menerusi tolakan Safawi selepas memanfaatkan gerakan bijak Arif Aiman yang bijak merampas bola daripada pertahanan lawan.

Skuad negara yang tidak pernah tewas kepada Laos dalam tujuh pertemuan sejak 2000 hampir menambah gol kedua lima minit kemudian, namun tandukan Syafiq Ahmad yang menyambut sepakan sudut Arif Aiman terkena palang, sebelum tindakan susulan Aidil Zafuan Abd Radzak turut mengenai palang.

Lawan yang dibimbing V Selvaraj tidak mengaku kalah namun sepakan percuma yang diambil tonggak kacukan yang bermain di Liga Perancis, Billy Ketkeophomphone di minit 22 jauh tersasar.

Safawi terus mempamerkan ketajaman apabila kali ini memilih menggunakan kepalanya untuk mencetak gol kedua untuk menutup babak pertama dengan kelebihan 2-0.

Malah, jaringan itu juga meletakkan dirinya kini selaku pendahulu penjaring terbanyak dengan empat gol dan berpeluang merebut Anugerah Kasut Emas yang kali terakhir dimenangi negara pada 2010 menerusi Safee Sali.

Rentak sama diteruskan pada baki 45 minit babak kedua dengan tiga pertukaran serentak Shahrel Fikri, R Kogileswaran dan Dominic Tan berjaya meneruskan tekanan ke atas Laos.

Shahrel Fikri mungkin individu paling kecewa apabila tiga percubaan gagal menghadirkan jaringan buat negara. Namun sebaliknya tonggak pertahanan tengah, Shahrul Saad meledak gol ketiga sebelum Safawi meraih hatrik pertamanya dengan gol keempat, masing-masing pada minit ke-78 dan 80.

Selepas ini, skuad negara akan berdepan juara bertahan Vietnam di Stadium Nasional Singapura, Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 7:30 PM