RALF Rangnick. -FOTO EPA
RALF Rangnick. -FOTO EPA
AFP

London: Ralf Rangnick sah dilantik sebagai pengendali sementara Manchester United selepas pasukan itu memecat Ole Gunnar Solskjaer.

Gergasi Liga Perdana itu mengenal pasti pengendali dari Jerman berusia 63 tahun yang kini memegang jawatan sebagai ketua pembangunan sukan di kelab Russia, Lokomotiv Moscow sebagai pengganti yang berpotensi menggantikan Solskjaer untuk jangka pendek.

Michael Carrick mengambil alih pasukan ketika mereka mencatatkan kemenangan di Villarreal dalam aksi Liga Juara-Juara yang memastikan tempat ke pusingan kalah mati namun kelab mahu membawa jurulatih yang lebih berpengalaman hingga akhir musim.

United merancang membuat pelantikan tetap pada penghujung kempen dengan pengurus Paris Saint-Germain, Mauricio Pochettino dikaitkan dengan jawatan itu.

Rangnick yang pernah menjadi pengurus RB Leipzig mencapai persetujuan dengan United untuk mengambil alih tugas itu berkata, perjanjian itu tertakluk kepada persetujuan Lokomotiv untuk melepaskannya dari kontrak.

Bagaimanapun beliau berkata, ia mungkin tidak sempat untuk mengendalikan perlawanan menentang Chelsea hujung minggu ini kerana isu permit.

"Semua tenaga dan fikiran tertumpu pada Ahad ini. Saya kawal apa yang boleh dikawal," kata Carrick.

"Semua perkara itu tidak membimbangkan dan membabitkan saya kerana saya perlu menang perlawanan bola dan itu yang saya mahu lakukan."

Solskjaer dipecat Ahad lalu berikutan kekalahan memalukan 1-4 ke kepada Watford.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 7:10 AM