Philippe Coutinho. FOTO Agensi
Philippe Coutinho. FOTO Agensi
AFP

Sao Paulo: Perancang tengah Brazil, Philippe Coutinho berkata dia menaruh keyakinan jurulatih baharu Barcelona, Xavi mampu memulihkan maruah kelab gergasi Catalan itu.

Xavi legenda kelab itu dilantik sebagai jurulatih baharu hanya selepas 10 hari pengendali Belanda, Ronald Koeman dipecat.

"Xavi adalah pemain hebat, ikon bola sepak, dan kini dia kembali semula ke Barcelona. Saya berharap dia dapat memulihkan pasukan ini," kata pemain berusia 29 tahun itu.

"Mengenali peribadi bekas pemain itu, dia pastinya melakukan yang terbaik buat Barcelona."

Sekalipun menjadi sebahagian pemain di bawah kendalian Koeman sejak kembali semula ke Barca 18 bulan lalu selepas dipinjamkan semusim di Bayern Munich, Coutinho tetap dipanggil menyertai skuad kebangsaan Brazil bagi kelayakan Piala Dunia bulan ini berdepan Colombia dan Argentina.

Coutinho mengalami kecederaan lutut Disember lalu sehingga menamatkan kempen musim lalu dan selepas dua pembedahan dia menjadi antara tonggak penting kempen kali ini.

"Ia seperti aksi pertama saya," kata Coutinho yang terkejut dipanggil menyertai skuad kendalian Tite selepas setahun tersisih.

"Saya sentiasa bangga untuk menyarung jersi kebangsaan."

Brazil boleh mengesahkan tempat ke Qatar jika menewaskan Colombia pada Khamis dan keputusan seri sudah memadai jika Uruguay tewas kepada Argentina pada keesokan harinya.

Barcelona di tangga kesembilan carta La Liga selepas hanya menang empat daripada 12 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 2:03 PM