PEMAIN Terengganu FC, Mohd Faisal Halim (kanan) berebut bola  dengan pemain Sri Pahang FC, Herold Goulon pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam ini. FOTO GHAZALI KORI
PEMAIN Terengganu FC, Mohd Faisal Halim (kanan) berebut bola dengan pemain Sri Pahang FC, Herold Goulon pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam ini. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) layak dilabel gergasi Pantai Timur selepas menumpaskan pasukan jiran, Sri Pahang FC, 2-0 pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam ini.

Hasil kemenangan itu, skuad Penyu kekal menghuni di kedudukan kedua Liga Super dengan mengumpul 37 mata dengan perbezaan lima mata dengan pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang tidak beraksi pada malam ini.

Skuad Tok Gajah terlebih dahulu menguji kubu tuan rumah menerusi rembatan leret pemain import tinggi lampai kelahiran Sudan, Kenny Athiu pada minit kedua yang mudah dibaca penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin.

Bagaimanapun, TFC tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila rembatan David Da Silva hasil hantaran Faiz Nasir pada minit ke-12 membolosi gawang pelawat dikawal Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin.

Bagaimanapun, seminit berselang, penyerang kelahiran Brazil itu terpaksa dikeluarkan berikutan kecederaan dan digantikan dengan pemain muda sedang meningkat naik, Mohamad Hakimi Abdullah.

Ketika skuad Tok Gajah kerap mengasak mencari gol penyamaan, Hakimi yang mendapat bola hasil kesilapan pertahanan pelawat melakukan hantaran ke dalam kotak penalti yang singgah di kaki Faiz sebelum pemain bertubuh kecil itu mencari kepala Faisal Halim untuk pemain itu mencetak nama sebagai penjaring kedua TFC pada minit ke-23.

Bekas pemain Sri Pahang musim lalu itu hampir menambah gol ketiga pasukannya selepas mendapat hantaran Makan Konate, namun penjaga gol lebih pantas mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Bersambung babak kedua, pelawat hampir merapatkan kedudukan melalui tandukan Muslim Ahmad pada minit ke-54, tetapi penjaga gol Terengganu lebih pantas menepis bola keluar.

Disiplin bertahan dan menyerang diperagakan pemain skuad kendalian Nafuzi Zain hampir berjaya menambah jaringan ketiga menerusi Habib Haroon pada minit ke-61, tetapi percubaannya tersasar di sebelah kanan pintu gol dan keputusan 2-0 itu kekal hingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 11:17 PM