PENGENDALI Melaka United FC, Zainal Abidin Hassan. -FOTO NSTP
PENGENDALI Melaka United FC, Zainal Abidin Hassan. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih Melaka United FC, Zainal Abidin Hassan menyifatkan kelemahan di barisan pertahanan menjadi punca utama kegagalan pasukan meraih tiga mata penuh selepas seri 3-3 dengan Kelantan United FC dalam perlawanan keempat Piala Malaysia, pada Isnin.

Misi mereka untuk meneruskan rekod kemenangan berturut-turut dinafikan oleh anak buah Nazrulerwan Makmor yang dilihat mempamerkan aksi lebih memberangsangkan berbanding perlawanan di Stadium Hang Jebat pada Jumaat lalu.

Jelasnya, kesilapan demi kesilapan di barisan pertahanan menghukum Melaka untuk memberi peluang kepada Kelantan United meledak jaringan sebelum Manuel Ott menyelamatkan pasukan daripada pulang tangan kosong dengan menyamakan kedudukan pada minit-85.

Zainal juga tidak menolak barisan pemain mungkin berasa terlalu selesa selepas layak lebih awal ke pusingan suku akhir menyebabkan mentaliti pemain sedikit berubah sehingga pasukan lawan berjaya memberi tentangan sengit.

"Kelonggaran yang paling besar adalah daripada segi bertahan, memang nampak kucar-kacir, tidak padat seperti aksi-aksi sebelum ini dan itu yang akhirnya mendera kita.

"Saya tidak nafikan pemain nampak selesa, kita tahu mentaliti pemain dah fikir yang pasukan sudah layak ke suku akhir, jadi saya cakap jangan ambil mudah kerana mereka akan beri tentangan hebat, dan ini yang berlaku, kita memang menghadapi tentangan hebat daripada lawan.

"Bagi saya dengan keadaan sekarang, memang mengejar kedudukan utama dalam pasukan, jadi aksi terakhir nanti akan menentukan dan harapnya bermain di tempat sendiri, kita akan dapat balik momentum seperti mana yang kita pernah rancangkan", katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan United, Nazrulerwan tetap berbangga dengan barisan pemain walaupun sekadar meraih satu mata selepas mengharungi empat perlawanan peringkat kumpulan.

Katanya, perlawanan malam kelmarin adalah aksi terbaik yang telah dilakukan oleh pasukan untuk memberi tentangan hebat kepada Melaka walaupun sedar peluang yang sudah hampir terkubur untuk mara ke suku akhir.

"Pertama sekali, Alhamdulillah walaupun kita tidak menang, tapi dapat satu mata di laman sendiri sudah cukup dan apa yang membezakan kita dan Melaka adalah pengalaman.

"Saya tidak kecewa, saya beri pujian kepada semua pemain yang beraksi malam ini (Isnin) sebab mereka sudah menunjukkan persembahan yang baik dan mengeluarkan segala kudrat yang ada, jadi tahniah saya ucapkan.

"Saya harapkan untuk aksi terakhir nanti, tiada laluan mudah untuk Kedah sebab bagi saya, kita mahu akhiri Piala Malaysia ini dengan keputusan negatif dan nak kutip tiga mata juga di laman sendiri," katanya.

Keputusan seri itu meletakkan Melaka masih kekal di tangga teratas Kumpulan C dengan 10 mata selepas empat perlawanan manakala Kedah Darul Aman FC di kedudukan kedua dengan enam mata ketika ini sekali gus menyaksikan pertarungan sengit untuk dua pasukan ini bagi merebut juara kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 November 2021 @ 1:06 PM