MALONEY memeluk pemainnya selepas berjaya mengesahkan slot secara automatik ke Piala Asia B-23 apabila muncul juara kumpulan di peringkat kelayakan di Mongolia. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
MALONEY memeluk pemainnya selepas berjaya mengesahkan slot secara automatik ke Piala Asia B-23 apabila muncul juara kumpulan di peringkat kelayakan di Mongolia. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tiga aksi tanpa kekalahan dan tanpa bolos pada kempen Kelayakan Piala Asia bawah 23 (B-23) tahun di Ulaanbaatar, Mongolia disifatkan fantastik dan cukup luar biasa oleh pemain muda negara.

Pengendali skuad B-23 negara, Brad Maloney amat gembira dengan kejayaan anak buahnya yang berjaya mencapai sasaran layak secara merit selepas menamatkan kedudukan selaku juara Kumpulan J untuk menempah tiket ke Uzbekistan tabun depan.

Jelas Maloney, beliau sememangnya dari awal mempercayai kebolehan dan kemampuan barisan pemainnya sebelum hadir ke bumi Mongolia.

Katanya, pemain menunjukkan komitmen serta disiplin tinggi sepanjang saingan kelayakan itu namun kejayaan mengekalkan rekod bersih tanpa kekalahan selain turut tidak dibolosi baginya amat menakjubkan.

"Pencapaian yang fantastik daripada pemain, di mana saya cukup yakin dan percaya dengan barisan pemain sepanjang kejohanan.

"Kami tidak dibolosi sepanjang kelayakan ini dan pemain membuktikan mereka adalah yang terbaik dan ini pencapaian yang menakjubkan," katanya pada sidang media selepas perlawanan terakhir kumpulan dengan Thailand.

Pada aksi menentang skuad muda Gajah Perang itu, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan namun keputusan seri itu sudah memadai untuk menobatkan skuad negara selaku juara kumpulan dengan tujuh mata.

Dalam dua aksi terdahulu, Malaysia menang 1-0 ke atas Laos dan Mongolia dengan kedua-dua gol itu disumbangkan Nur Azfar Fikri Azhar.

Malah dengan kejayaan itu, skuad negara menjadi pasukan kelima yang layak selepas Australia, Kuwait, Jepun dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) selain tuan rumah, Uzbekistan mengesahkan slot tahun depan.

Manakala, 11 lagi tiket masih menjadi rebutan dengan empat slot terakhir bakal diisi empat naib juara terbaik daripada 11 kumpulan bagi melengkapkan 16 pasukan di pusingan akhir nanti.

Untuk rekod, kali terakhir skuad B-23 beraksi di peringkat 16 terbaik adalah pada 2018 lalu yang berlangsung di China dengan Maloney ketika itu adalah penolong jurulatih kepada Datuk Ong Kim Swee.

Pasukan itu mencipta sejarah tersendiri apabila melakar kejutan mara ke suku akhir sebelum tumbang di tangan Korea Selatan dengan 1-2.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 5:59 PM