Luqman Hakim. FOTO File
Luqman Hakim. FOTO File
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Empat pemain muda yang bersama skuad Harimau Malaya bakal memperkuatkan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara menjelang Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 yang bakal berlangsung di Ulaanbaatar, Mongolia dari 21-31 Oktober ini.

Pemain terbabit adalah Luqman Hakim Shamsudin, Muhammad Mukhairi Ajmal, Muhammad Hakimi Abdullah dan Quentin Cheng yang baharu sahaja selesai mengharungi dua aksi persahabatan bersama skuad senior negara di Amman, Jordan.

Jelas pengendali skuad B-23, Brad Maloney, keempat-empat tonggak itu sememangnya berada dalam perancangannya dan khidmat serta pengalaman mereka amat ditagih.

Bagaimanapun, pemain berkenaan hanya akan mula menyertai pasukan selepas selesai menjalani tempoh kuarantin wajib sebelum boleh berlatih dengan skuad kendaliannya.

"Mukhairi, Hakimi, Quentin dan Luqman sudah tentunya berada dalam perancangan saya untuk kelayakan itu.

"Begitupun kita tidak tahu bila mereka akan mula menyertai latihan bersama pasukan, di mana mereka perlu terlebih dulu menjalani tempoh kuarantin sebaik tiba di Kuala Lumpur.

"Bagi saya mereka melakukan tugasan yang sangat baik di Jordan, dan mereka tunjukkan kesungguhan dan kematangan dalam aksi persahabatan itu," katanya.

Dalam dua aksi persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan, keempat-empat pemain itu diberi peluang beraksi dengan Mukhairi, Hakimi dan Quentin meraih kap pertama di pentas antarabangsa.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang dalam misi persiapan untuk saingan Piala AFF Disember ini bagaimanapun tewas dalam dua aksi persahabatan itu apabila tunduk 0-4 kepada tuan rumah sebelum tewas 1-5 dengan Uzbekistan.

Skuad B-23 yang diletakkan dalam Kumpulan J pada Kelayakan AFC di Mongolia nanti, akan membuka tirai menentang Laos pada 25 Oktober, diikuti Mongolia pada 28 Oktober dan Thailand empat hari kemudian.

Sementara itu, Maloney yang berasal dari Australia mengesahkan anak didiknya akan mengharungi tiga aksi pemanas badan dengan menentang juara Liga Perdana, Negeri Sembilan FC esok sebelum bertemu dua pasukan Liga Super iaitu Penang FC pada Jumaat dan Kedah Darul Aman FC Isnin depan.

"Aksi persahabatan ini penting buat kami untuk menguji strategi dan taktikal yang sudah diterapkan sebelum melangkah ke pusingan kelayakan itu."

Skuad negara menyasarkan untuk muncul juara Kumpulan J bagi meraih tiket automatik ke pusingan akhir Kejuaraan AFC B-23 yang bakal diadakan di Uzbekistan tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 7:06 PM