AZRI menjadi tonggak penting Skuad B-23. FOTO Muhammad Azri Ab Ghani
AZRI menjadi tonggak penting Skuad B-23. FOTO Muhammad Azri Ab Ghani
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ketangkasan penjaga gol Kuala Lumpur City FC (KL City), Muhammad Azri Ab Ghani amat diperlukan oleh skuad bawah 23 (B-23) tahun negara menjelang saingan Sukan Sea di Hanoi, Vietnam bermula minggu depan.

Ia disuarakan pengendali B-23, Brad Maloney yang mengakui tidak akan 'mengalah' dan akan meneruskan rundingan dengan KL City bagi mendapatkan khidmat penjaga gol berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu.

"Kita ada perbincangan dengan jurulatih (KL City), Bojan Hodak dan Stanley Bernard (Ketua Pegawai Eksekutif) dan pengurusan KL City berhubung kedudukan Azri.

"Azri adalah pemain utama kami dan penjaga gol pilihan pertama ketika Kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia (Oktober lalu) dan kita masih optimis yang Azri akan sertai pasukan untuk kejohanan itu (Sukan Sea) serta ke Piala Asia nanti, di mana dia memainkan peranan besar di kelayakan tempoh hari.

"Macam saya katakan, perbincangan lanjut masih dan sedang berlangsung, dan kita harap boleh mendapatkan penyelesaian sebelum kita berlepas ke Hanoi," katanya.

Azri, 22, adalah tonggak utama ketika memastikan skuad B-23 negara muncul sebagai juara peringkat Kumpulan J Kelayakan Piala Asia sebelum ini.

Dia berjaya menjadi 'tembok' ampuh sepanjang kelayakan itu apabila langsung tidak dibolosi dalam tiga aksi, di mana Malaysia menang 1-0 ke atas Laos dan Mongolia sebelum terikat tanpa jaringan dengan Thailand.

Ditanya apakah perancangannya jika gagal mendapatkan khidmat Azri, beliau menegaskan tidak akan berputus asa dan cuba memujuk KL City.

"Kita ada dua, tiga penjaga gol ketika ini, dan seperti saya katakan Azri adalah pilihan pertama ketika kelayakan Oktober lalu dan ini peluang buatnya beraksi di Sukan Sea.

"Tapi kami menghormati keputusan kelab dan kita akan teruskan perbincangan sebelum berlepas," katanya yang dijadual berangkat ke Hanoi Rabu depan.

Di temasya dwitahunan itu nanti, skuad kendalian Maloney diletakkan dalam Kumpulan B bersama Thailand, Singapura dan Kemboja, dengan kesemua perlawanan kumpulan dijadual berlangsung di Stadium Thien Truong, Nam Dinh.

Selepas berakhir saingan itu, skuad negara akan terbang ke Uzbekistan bagi mengharungi kempen Piala Asia B-23 pula yang bermula dari 1-19 Jun ini, di mana Malaysia berada dalam Kumpulan C dengan Korea Selatan, Thailand dan Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 4:25 PM