ANTARA aksi skuad B-23 ketika bertemu KDA FC. FOTO FAM
ANTARA aksi skuad B-23 ketika bertemu KDA FC. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara menghantar isyarat buat tiga pencabar lain dalam Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Mongolia hujung bulan ini apabila mencatat kemenangan kedua selepas membenam Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 2-0 di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Subang Jaya, hari ini.

Kejayaan menundukkan pasukan Liga Super itu sememangnya mengejutkan apatah lagi ia adalah kemenangan kedua berturut-turut skuad kendalian Brad Maloney dalam aksi persahabatan itu.

Sebelum ini, pemain negara berjaya meraih keputusan positif ke atas Penang FC dengan keputusan 2-1 pada Jumaat lalu.

Gol skuad muda negara dijaringkan tonggak pertahanan, Ahmad Zikri Khalili pada minit ke-28 untuk mendahului lawan dengan 1-0.

Anak buah Aidil Sharin Sahak cuba bangkit namun kekebalan benteng pertahanan negara cukup sukar untuk dibolosi sekali gus keputusan itu kekal hingga tamat babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, skuad negara yang diundi dalam Kumpulan J bersama Laos, Mongolia dan Thailand itu, diasak bertubi-tubi oleh jentera serangan Kedah untuk memburu gol penyamaan.

Bagaimanapun, anak didik Maloney terus mengejutkan pasukan Liga Super itu apabila berjaya menambah gol kedua pada masa kecederaan hasil sentuhan Azfar Fikri Azhar.

Kemenangan itu cukup bermakna buat barisan pemain muda negara yang menyasarkan slot automatik ke pusingan akhir Kejuaraan AFC pada tahun depan yang dijadual berlangsung di Uzbekistan tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 7:29 PM