RONALDO beli apartmen paling mahal di Portugal.
RONALDO beli apartmen paling mahal di Portugal.
Agensi

Lisbon: Bintang sensasi Portugal, Cristiano Ronaldo kali ini tidak mendapat keistimewaan di negaranya, Portugal. Walaupun dianggap personaliti Portugal paling terkenal di dunia, dia masih perlu mematuhi peraturan seperti orang lain.

Baru-baru ini, Ronaldo membeli apartmen paling mahal di Portugal yang mempunyai kolam renang peribadi, spa, gimnasium dan pawagam mini di tengah kota Lisbon.

Bagaimanapun, apartmen berharga 7.2 juta euro (RM36 juta) masih lagi tidak memuaskan hati bintang Juventus itu. Dia membina binaan teres tambahan di ruang atas bangunan itu tanpa mendapat kelulusan Majlis Bandaran Lisbon. Tindakan Ronaldo itu juga tidak disenangi jiran dan pemilik bangunan yang akhirnya membuat aduan kepada pihak berwajib.

Menurut beberapa media Portugal, Ronaldo kini diberikan tempoh dua minggu untuk meruntuhkan binaan haram itu. Jika dia tidak mematuhi arahan pihak terbabit, dia bakal berdepan tindakan undang-undang yang lebih serius.

Namun Ronaldo masih ada peluang merealisasikan hajatnya. Kapten Portugal itu mempunyai 30 hari untuk mendapatkan permit membina teres impiannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 11:12 AM