Pemain TFC menjalani latihan di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak menjelang pertemuan dengan Perak FC minggu depan. FOTO TFC
Pemain TFC menjalani latihan di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak menjelang pertemuan dengan Perak FC minggu depan. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Walaupun tanpa tiga tonggak utama menjelang pertemuan dengan Perak FC pada aksi ketiga saingan Piala Malaysia Kumpulan B minggu depan, skuad Terengganu FC (TFC) tidak tempang.

Malah perancangan skuad kendalian Nafuzi Zain dan pembantunya, Tengku Hazman Raja Hassan untuk meneruskan rentak kemenangan ketiga berturut-turut juga tidak terjejas kerana pengganti tiga pemain berkenaan juga tidak kurang hebatnya.

Tiga pemain tonggak skuad Penyu, Muhammad Azam Azmi Murad yang beraksi di posisi pertahanan kanan, Nik Akif Syahiran Nik Mat (tengah) dan Hakimi Abdullah (sayap) kini berada di Mongolia bersama pasukan kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) yang bakal beraksi dalam saingan Kelayakan Piala Asia B-23 Kumpulan J bagi merebut tempat ke pusingan akhir Piala Asia B-23 tahun depan.

Ketua Pegawai Operasi Terengganu FC (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas menjelaskan pengganti tiga pemain itu juga adalah mereka yang mampu menggalas tugas dengan berkesan selain sudah kerap membarisi kesebelasan utama pasukan musim ini.

"Ketua jurulatih sudah mengenal pasti pemain yang sesuai bakal mengisi posisi tiga pemain berkenaan dan mereka juga tidak kurang hebatnya, malah corak permainan pasukan pun tidak akan terjejas sama sekali.

"Jadi kita tidak bimbang tanpa kehadiran tiga pemain itu walaupun misi kita adalah untuk melepasi peringkat Kumpulan B terlebih dahulu sebelum melangkah ke pusingan seterusnya dalam kempen Piala Malaysia kali ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu beliau menjelaskan aksi persahabatan menentang Kelantan United FC (KUFC) yang sepatutnya berlangsung pada malam esok di Stadium Sultan Muhammad ke-IV Kota Bharu dan Kelantan FC sehari kemudian terpaksa dibatalkan atas faktor yang tidak dapat dielakkan.

"Kami bagi pihak pengurusan memohon maaf atas pembatalan aksi persahabatan itu, bagaimanapun sebelum aksi sebenar bertemu skuad Perak FC Sabtu depan di tempat lawan, kita merancang untuk mengadakan aksi persahabatan menentang pasukan lain, namun ianya juga bergantung kepada kesesuaian masa," katanya.

Bercakap mengenai Nik Akif Syahiran yang kematian bapanya, Nik Mat Yusof, pada Selasa lalu akibat kemalangan jalan raya, Mohd Sabri akui pemain tengah berbakat itu begitu bersemangat untuk mewakili negara biarpun masih bersedih.

Malah dia gembira selepas dua pemain yang dikuarantin selepas tugasan bersama kem kebangsaan di Jordan sebelum ini iaitu Faisal Abdul Halim dan Arif Fadzilah Abu Bakar sudah kembali menjalani latihan bersama pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 12:49 PM