DATUK Mohd Yusoff Mahadi. FOTO Azhar Ramli
DATUK Mohd Yusoff Mahadi. FOTO Azhar Ramli
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih lagi berhasrat untuk menjadi tuan rumah pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 kerana ia bakal memberi impak positif buat skuad Harimau Malaya.

Menurut Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, mereka hanya meminta kelulusan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menjadi tuan rumah saingan berkenaan pada Jun tahun depan.

"Dana untuk saingan ini tidak akan menggunakan wang kerajaan mungkin ia akan datang dari Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang akan menyalurkan kepada negara tuan rumah. Selain itu ia akan mencerahkan peluang Malaysia melayakkan diri ke Piala Asia 2023 disebabkan kelebihan menjadi tuan rumah kerana bakal mendapat sokongan padu peminat," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Menurut Yusoff, saingan seperti ini juga akan mendapat sumber dari hak penyiaran selain memberi impak kepada ekonomi di dalam negara jika Malaysia menjadi tuan rumah.

"Pasukan lawan akan menggunakan hotel, perbelanjaan makan dan minum. Selain itu peniaga kecil juga boleh menjalankan aktiviti perniagaan di luar stadium, setidak-tidaknya ia ada juga kesan positif dari sudut ekonomi dalam negara.

"Jadi kita tetap akan meneruskan permohonan kepada KBS kerana masih berhasrat untuk menganjurkan pusingan ketika kelayakan Piala Asia 2023 kerana saya tidak nampak akan memberi kesan negatif kepada ekonomi, tapi lebih kepada kesan positif.

"Kita tidak membawa duit ke negara lain, malah negara lain berbelanja di sini dari segi hotel dan sebagainya. Ia satu kesan positif," katanya.

Bagaimanapun, sebab utama mengapa Malaysia perlu menjadi tuan rumah adalah sokongan padu peminat tempatan di stadium untuk pasukan kebangsaan seperti mana yang dapat dilihat ketika pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 sebelum seluruh dunia dilanda pandemik Covid-19.

"Ketika itu skuad kebangsaan beraksi dengan sangat baik di gelanggang sendiri. Sebenarnya mana-mana pasukan pun ingin menjadi tuan rumah disebabkan faktor sokongan penyokong," katanya.

Isnin lalu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tumpuan kerajaan ketika ini adalah kepada usaha pemulihan ekonomi pasca pandemik yang memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat.

Beliau berkata, sekiranya kejohanan yang boleh memastikan dapat membawa sebilangan besar penonton ataupun mendatangkan hasil daripada pelancongan sukan, ia boleh difikirkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 6:30 PM