PROGRAM sambutan Maulidur Rasul di Surau Al Ikhlas mendapat sambutan yang baik. FOTO Ihsan Facebook Azmeer Yusof 25
PROGRAM sambutan Maulidur Rasul di Surau Al Ikhlas mendapat sambutan yang baik. FOTO Ihsan Facebook Azmeer Yusof 25
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Pusat Pengajian Azmeer Yusof (PPAY) yang sudah mempunyai dua cawangan di Alor Setar, kini berkembang ke Lembah Klang namun tampil dengan konsep berbeza.

Pengasas pusat pengajian itu, bekas pemain bola sepak Azmeer Yusof berkata, di Lembah Klang mereka akan menganjurkan ceramah atau kuliah agama yang disampaikan penceramah bertauliah.

"Insya-Allah setiap ceramah di PPAY kita akan jemput ustaz daripada program Pencetus Ummah (PU), Imam Muda dan Da'i. Jadi kepada masyarakat di Lembah Klang yang ingin membuat program majlis ilmu boleh pm saya," tulisnya dalam hantaran di laman Facebook.

"Insya-Allah PPAY akan sediakan penceramah dan jamuan makan. Pihak penganjur hanya sediakan tempat sahaja. Dari segi perbelanjaan semua PPAY akan tanggung. Alhamdulillah dengan izin Allah PPAY berkembang ke Lembah Klang," katanya.

Buat permulaan, program sulung PPAY di Lembah Klang diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul baru-baru ini bertempat di Surau Al Ikhlas, Kampung Medan Wira Utama, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Penceramah Da'i Azrin dijemput membincangkan topik bertajuk 'Rasulullah, sayang umat tiada tandingan'.

"PPAY di Lembah Klang mungkin berlainan dengan di Kedah tapi objektifnya tetap sama untuk memberi manfaat kepada setiap orang yang menghadirinya, insya-Allah," kata Azmeer, bekas pemain pertahanan Kedah yang bersara tahun lalu.

PPAY di Alor Setar (lelaki) dan Kuala Kedah (wanita) memberi peluang kepada sesiapa yang berminat untuk mengikuti kelas mengaji al-Quran secara percuma daripada ustaz dan ustazah bertauliah.

Sementara itu, sempena Maulidur Rasul 1443 Hijrah, PPAY dan Kelab Bolasepak Ustaz Bola (UBFC) juga mengadakan pertandingan PPAY/UBFC Selawat Challenge yang terbuka kepada semua.

Peserta merakam video berdurasi maksimum 59 saat yang boleh dirakam bersama muzik dan boleh menggunakan apa sahaja jenis selawat dan menyertakan video mereka dengan tanda pagar #PPAYUBFCselawatchallenge.

Pertandingan yang menggunakan platform Instagram itu bagaimanapun tidak membenarkan artis rakaman atau yang pernah merakamkan lagu menyertainya. Hadiah wang tunai RM500 diberikan kepada pemenang serta tajaan Afzan Perfume selain menyertai program Montana Sembang Santai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 6:04 PM