PEMAIN England sebelum sesi latihan di St George’s Park.
PEMAIN England sebelum sesi latihan di St George’s Park.
Agensi

London: Skuad England kendalian Gareth Southgate kembali jalani latihan menjelang perlawanan menentang Andorra dan Hungary dalam saingan kelayakan Piala Dunia.

Three Lions tidak tewas enam aksi kelayakan setakat ini dan empat mata mengatasi Albania di puncak Kumpulan I.

Mereka bakal mengesahkan tempat ke Qatar tahun depan dengan kemenangan di Andorra pada Ahad ini dan mengutip tiga mata lagi ketika menentang Hungary di tempat sendiri, Rabu depan.

Antara pemain kembali menyertai skuad England ialah pertahanan AC Milan, Fikayo Tomori yang kali pertama dipilih Southgate sejak penampilan tunggal antarabangsanya pada 2019.

Seorang lagi bekas pemain Blues turut tersenarai ialah penyerang Roma, Tammy Abraham. Pemain berusia 24 tahun itu menyertai Jose Mourinho di Serie A pada Ogos lalu dan kini sudah meledak empat gol bersama kelabnya.

Abraham yang jaringan tunggalnya dengan England ketika menentang Montenegro dua tahun lalu mendapat panggilan pertamanya bersama skuad kebangsaan sejak November 2020.

Pemain tengah Southampton, James Ward-Prowse turut dibawa masuk menggantikan pemain Leeds, Kalvin Phillips yang mengalami kecederaan.

Kapten Saints itu berpeluang menarik perhatian Southgate selepas dia tersisih daripada senarai 26 pemain dalam skuad Euro 2020.

Ward-Prowse pula disenaraikan hanya 72 jam selepas dia dibuang padang ketika tewas kepada Chelsea di Stamford Bridge.

Selain daripada Reece James yang mengalami kecederaan, Southgate juga kehilangan pemain berpengalaman Harry Maguire, Trent Alexander-Arnold dan Marcus Rashford yang berdepan masalah sama.

Three Lions kini dalam proses pemulihan selepas kekalahan memedihkan kepada Itali pada final Euro 2020. Bulan lalu skuad Southgate menang 4-0 ke atas Hungary dan Andorra sebelum seri 1-1 dengan Poland.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 9:33 AM