WARD-PROWSE perbaharui kontrak bersama Saints untuk lima tahun. FOTO Agensi
WARD-PROWSE perbaharui kontrak bersama Saints untuk lima tahun. FOTO Agensi
Agensi

London: Kapten Saints, James Ward-Prowse mengesahkan mengikat kontrak perjanjian lima tahun bersama Southampton dan menegaskan bahawa masih banyak yang perlu diberikan kepada kelab bola sepak itu.

Spekulasi mengenai masa depan pemain tengah England itu hangat diperkatakan musim panas ini dengan dia turut dilaporkan ditawarkan £25 juta (RM144.44 juta) oleh Aston Villa namun ditolak bulan lalu.

Namun pemain tengah berusia 26 tahun itu meneruskan kesepakatan baru dan memperkukuhkan lagi kesetiaan terhadap Saints yang bermula sejak dia di akademi pasukan itu ketika berusia lapan tahun.

Ward-Prowse berkata: "Saya sangat gembira. Saya rasa saya mungkin lelaki paling gembira di dunia ketika ini. Untuk membuat keputusan ini, saya rasa ia adalah satu keputusan dan langkah yang besar.

"Untuk mempertaruhkan masa depan saya sekali lagi bersama kelab bola sepak ini ia satu yang sangat saya banggakan dan episod baru dalam hidup baru bermula sekarang.

"Ini mungkin kali pertama dalam karier saya, dikaitkan dengan perpindahan dan perbincangan seperti ini tapi saya sangat berminat untuk berbincang bersama kelab dan mendapat maklum balas yang baik.

"Mereka duduk dan memaklumkan kepada saya bahawa mereka minat untuk khidmat saya dan mahu saya terus bersama kelab ini.

"Kelab ini juga sudah melakukan banyak perkara untuk saya dan saya tidak boleh menjelaskannya dengan kata-kata apa yang sudah mereka berikan kepada saya dan saya amat berterima kasih kepada kelab ini.

Ward-Prowse sudahpun membuat penampilan sebanyak 323 bersama skuad utama Saints, menjadi pemain ke-28 dalam sejarah kelab dan yang ke-19 dalam era terbuka yang melepasi 300 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 2:07 PM