DOLLA percaya penampilan berbeza akan dipamerkan pemain untuk meletakkan Sri Pahang pada kedudukan terbaik. FOTO NSTP
DOLLA percaya penampilan berbeza akan dipamerkan pemain untuk meletakkan Sri Pahang pada kedudukan terbaik. FOTO NSTP
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Dollah Salleh percaya skuadnya mampu mencatat keputusan positif berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium KLFA, Cheras, malam esok.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, walaupun rekod dua perlawanan dalam saingan Liga Super berpihak kepada lawan, ia tidak menjadi halangan.

"Sebaliknya, saya kini berasa gembira dengan prestasi semasa yang dipersembahkan pemain terutama pada sesi latihan yang dilihat petanda positif.

"Fokus utama pasukan ialah untuk memastikan perlawanan pertama saingan piala berprestij ini menjadi milik Sri Pahang.

"Saya percaya penampilan berbeza akan dipamerkan pemain untuk meletakkan Sri Pahang pada kedudukan terbaik dalam Kumpulan A," katanya.

Ditanya kesebelasan utama yang diturunkan malam esok, Dollah berkata, ada perubahan yang akan dilakukan terutama di bahagian serangan.

Katanya, ini kerana penyerang import dari Myanmar, Aung Kaung Mann tidak dapat disenaraikan kerana masih belum pulih daripada kecederaan.

"Saya akan melakukan perubahan di bahagian serangan dan saya harap segala yang dirancang akan tercapai.

"Begitu juga di bahagian tengah dan pertahanan yang dilihat semakin bagus terutama komitmen tinggi yang dipersembahkan," katanya.

Difahamkan, jentera serangan Sri Pahang bakal menyaksikan Abdul Malik Mat Ariff atau Minuel Hidalgo akan bergandingan dengan Kenny Athiu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 1:00 PM