Dollah Salleh.
Dollah Salleh.

Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Dollah Salleh tidak menyangka skuadnya sekali lagi mencatat kemenangan besar selepas menewaskan Penang FC 5-0 di Stadium Bandaraya, kelmarin.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, kemenangan terbabit melegakannya, sekali gus berada pada landasan terbaik untuk mengisi slot ke saingan suku akhir Piala Malaysia.

"Saya bangga kerana pemain dapat mengekalkan rentak kemenangan seperti di Kuantan, tetapi tidak sangka menjaringkan lima gol. Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan komitmen semua pemain dan corak permainan individu yang dipersembahkan untuk memastikan misi tiga mata tercapai.

"Namun saya tetap berasa bimbang selepas mendahului 3-0 dan meminta pemain tidak beraksi sambil lewa dan bersyukur dua lagi gol berjaya diperolehi. Kemenangan ini membantu Sri Pahang mengutip enam mata selepas berada dalam keadaan tertekan susulan dua kekalahan pada dua perlawanan awal," katanya.

Mengulas gandingan dua penyerang Kenny, Athiu dan Abdul Malik Mat Ariff, Dollah gembira dengan prestasi bertenaga yang dipersembahkan hingga membantu pasukan mencatatkan kemenangan kedua berturut-turut selepas empat perlawanan.

Katanya, Athiu dan Abdul Malik masing-masing memiliki kelebihan dan mereka bermain dengan baik terutama memanfaatkan peluang yang terhidang.

"Begitu juga bahagian tengah dan pertahanan tutut memainkan peranan untuk membantu jentera serangan membolosi gawang lawan," katanya.

Pada perlawanan itu, lima gol masing-masing tiga dijaringkan Athiu pada minit ke-10, 35 dan 81, Abubakar Yakubu (m-21) dan Abdul Malik Mat Ariff (m-57).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 7:01 AM