Pemain TFC bersemangat untuk memburu kemenangan pada aksi terakhir liga menentang Penang FC, Ahad ini. FOTO TFC
Pemain TFC bersemangat untuk memburu kemenangan pada aksi terakhir liga menentang Penang FC, Ahad ini. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Walaupun terpalit dengan beberapa kontroversi yang melanda kem pasukan, Terengganu FC (TFC) tidak mahu mengangkat 'bendera putih' bagi perebutan kelompok teratas Liga Super musim ini.

Sebaliknya anak buah Nafuzi Zain bertekad akan tampil dengan aksi lebih bertenaga dalam perlawanan terakhir Liga Super berdepan Penang FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, Ahad ini bagi memastikan misi untuk menamatkan sekurang-kurangnya di kedudukan ketiga liga tercapai.

Ketua Pegawai Operasi TFC Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, pemain kini berada pada tahap terbaik dan tidak berdepan tekanan untuk menamatkan aksi liga dengan noktah kemenangan.

Malah katanya, barisan jurulatih yang diketuai Nafuzi Zain dan pembantunya, Tengku Hazman Raja Hassan kini sedang mempersiapkan pasukan menjelang pertemuan hidup mati itu.

"Kita tiada pilihan melainkan wajib menang pada aksi terakhir liga menentang Penang FC biarpun bermain di tempat lawan bagi mengintai peluang menamatkan saingan sekurang-kurangnya di tempat ketiga.

"Ini ditambah dengan keazaman tinggi pemain yang akan beraksi bermati-matian pada perlawanan yang diibaratkan aksi final.

"Jadi bagi memastikan impian itu tercapai, kami menyerahkan kepada barisan kejurulatihan untuk menyusun strategi atau rombakan pemain terutama jentera serangan yang dilihat tumpul, namun pada masa sama pemain kini tiada masalah dan bersemangat untuk memburu kemenangan," katanya.

Semalam TFC Sdn Bhd mengumumkan tidak ada perancangan untuk merehatkan Nafuzi, malah jurulatih kelahiran Kelantan itu terus diberi tanggungjawab memikul jawatan berkenaan walaupun sudah diberikan surat tunjuk sebab berhubung prestasi pasukan yang tewas dalam tiga perlawanan berturut-turut.

Berdasarkan kedudukan terkini, skuad TFC berada di tempat keempat liga di belakang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Penang FC selain juara Liga Super musim ini, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 6:01 PM