HARRY Kane menyempurnakan penalti untuk gol ketiga England. FOTO AFP
HARRY Kane menyempurnakan penalti untuk gol ketiga England. FOTO AFP
AFP

London: England kembali ke Wembley buat pertama kali selepas kekecewaan di final Euro 2020 berdepan pasukan kerdil Andorra 4-0 untuk mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam aksi kelayakan Piala Dunia.

Pengurus Gareth Southgate menukar keseluruhan barisan utama berikutan kemenangan selesa 4-0 ke atas Hungary pada pertengahan minggu - kali pertama England melakukan perubahan membabitkan keseluruhan pemain sejak 1982.

Namun pasukan tuan rumah masih memilik kualiti permainan terbaik ketika berdepan Andorra yang menghuni ranking ke-156 dunia, biarpun mereka bergelut untuk menukar dominasi kepada gol dalam perlawanan itu.

Jesse Lingard meledakkan dua gol dan Harry Kane yang dimasukkan sebagai pemain gantian menyempurnakan penalti sebelum Bukayo Saka memastikan kemenangan England untuk melebarkan kemenangan kepada lima dalam aksi Kumpulan I dalam laluan ke Qatar 2022.

Saka, pemain Arsenal yang gagal menyempurnakan penalti pada final Euro 2020 berdepan Itali juga menemui sentuhan jaringan dan Southgate berharap pemain berusia 20 tahun itu sudah boleh "menutup" kekecewaannya.

"Dia menerima sambutan hangat sebelum dan ketika perlawanan," kata Southgate. "Anda boleh melihat betapa dia popular bersama pemain lain dalam pasukan.

"Saya harap ia akan melakukan apa yang diperlukan dan saya tidak rasa ada pemain dalam bilik persalinan berfikir selain perkara positif mengenai apa dilakukannya sebelum ini."

Southgate mengakui pemainnya sukar untuk menyesuaikan diri dengan perubahan yang dilakukan dan mengakui bergelut untuk mencari kesefahaman biarpun menguasai perlawanan.

England menemui kekecewaan pada babak pertama apabila gagal untuk memecahkan benteng pertahanan lawan yang diganggu dengan beberapa siri kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 9:37 AM