RONALDO tidak berminat bersama Juventus lagi. FOTO AFP
RONALDO tidak berminat bersama Juventus lagi. FOTO AFP
AFP

Manchester: Manchester United menyertai seteru mereka, Manchester City berusaha mendapatkan tandatangan Cristiano Ronaldo selepas jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri mengesahkan pemenang Ballon d'Or sebanyak lima kali itu mahu meninggalkan kelab gergasi Itali berkenaan.

"Semalam, bercakap dengan Cristiano, dia beritahu saya bahawa dia tidak berminat untuk kekal di Juventus. Atas sebab ini dia tidak akan beraksi esok. Pagi ini dia tidak berlatih," kata Allegri kepada wartawan menjelang aksi Serie A bertemu Empoli esok.

Juara Liga Perdana, City dikaitkan dengan bintang berusia 36 tahun itu selepas gagal mendapatkan kapten England, Harry Kane.

Bagaimanapun pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer memberi bayangan Red Devils berpeluang untuk menyambar Ronaldo di saat akhir untuk kembali ke Old Trafford.

Ronaldo memenangi kejuaraan pertama daripada lima trofi Juara-Juara selain dinobat pemain terbaik dunia kali pertama ketika bersama United antara 2003 sehingga 2009.

"Jika anda bertanya kepada saya, Cristiano adalah legenda kelab ini dan pemain terbaik sepanjang zaman," kata Solskjaer yang pernah beraksi bersama Ronaldo.

"Saya tidak pernah terfikir Cristiano akan meninggalkan Juventus. Sebab ia adalah spekulasi sejak beberapa hari lalu.

"Kami mempunyai hubungan yang baik. Saya tahu Bruno (Fernandes) pernah bercakap dengannnya. Ronaldo tahu bagaimana perasaan kelab ini terhadapnya.

"Jika dia mahu meninggalkan Juventus, dia tahu bahawa kami berada di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 10:18 PM