KANE fokus sepenuhnya bantu Spurs. FOTO AFP
KANE fokus sepenuhnya bantu Spurs. FOTO AFP
AFP

London: Pengurus Tottenham, Nuno Espirito Santo mengakui penting untuk kelab terus menyimpan Harry Kane demi mencapai cita-cita mereka dan menganggap penyerang England itu salah seorang pemain terbaik dunia.

Kane menamatkan spekulasi masa depannya semalam apabila mengumumkan kekal di Tottenham pada musim panas ini selepas mengakui gagal dalam usaha berpindah ke Manchester City.

Pemain berusia 28 tahun itu mahu menyertai juara Liga Perdana selepas kecewa di Tottenham yang berdepan kemarau trofi selama 13 tahun.

Tetapi City gagal memenuhi harga £150 juta (RM866j) diminta Tottenham untuk mendapatkan Kane yang akhirnya berkata dia kini 100 peratus membantu kelab utara London itu.

"Bagi kami, amat penting dapat terus memiliki antara pemain terbaik dunia seperti Kane,'' kata Nuno.

"Saya fikir semua pemain perlu menunjukkan keyakinan yang penting untuk kami mencipta keputusan positif musim ini.''

Keputusan Kane itu pastinya melonjakkan semangat Tottenham yang menang dua aksi pertama liga di bawah kendalian Nuno.

Kane muncul penjaring kedua terbanyak sepanjang zaman Tottenham dengan 222 jaringan, 45 gol di belakang Jimmy Greaves.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 9:46 AM