KANE mahu tinggalkan Spurs. FOTO AFP
KANE mahu tinggalkan Spurs. FOTO AFP
Agensi

London: Pep Guardiola menegaskan Manchester City tidak mampu membayar £150 juta (RM861 juta) untuk mendapatkan Harry Kane.

Juara Liga Perdana Inggeris itu kini terdesak memperkasakan jentera serangan selepas pemergian Sergio Aguero ke Barcelona.

Citizens menjadikan wira England di Euro 2020 itu sebagai sasaran nombor satu selepas terpaksa melupakan Erling Haaland susulan keengganan Borussia Dortmund melepaskan pemain itu sehingga tahun depan selain harga £140 juta (RM803 juta) yang terlalu mahal.

Kane sebelum ini memberikan petanda mahu meninggalkan Tottenham tetapi kelab Utara London itu mahu terus menyimpannya dengan meletakkan tanda harga £150 juta.

Guardiola hanya mempunyai pemain Brazil Gabriel Jesus dan bintang Sepanyol Ferran Torres sebagai penyerang senior dalam skuadnya dengan Liam Delap berusia 18 tahun menjadi pembantu.

Pengendali City itu berkata mereka tidak mempunyai bajet mewah mendapatkan Kane yang kelmarin mendedahkan akan berunding lebih lanjut dengan Spurs atau mana-mana kelab selepas tamat Euro.

Guardiola berkata: "Pada harga itu kami tidak akan membeli mana-mana penyerang. Ia mustahil, kami tidak mampu.

"Semua kelab berdepan krisis kewangan, kami tidak terkecuali.''

City melancarkan bidaan £100 juta (RM574 juta) untuk mendapatkan Kane bulan lalu selepas diberitahu kelab itu menjadi pilihannya selepas ini.

Tetapi pengerusi Spurs Daniel Levy mahu terus menyimpan ayam tambatannya itu dan mengarahkan pengurus baharu Nuno Espirito Santo menyenaraikan Kane dalam kesebelasan utama musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 10:06 AM