KAPTEN England, Harry Kane gagal hadir sesi ujian kecergasan dan calitan Covid-19 di pusat latihan Tottenham, Isnin lalu. FOTO AFP
KAPTEN England, Harry Kane gagal hadir sesi ujian kecergasan dan calitan Covid-19 di pusat latihan Tottenham, Isnin lalu. FOTO AFP
AFP

London: Pengurus Tottenham, Nuno Espirito Santo mengakui belum bercakap dengan Harry Kane mengenai kegagalan penyerang itu hadir untuk latihan pra-musim pada ketika dia mendesak mahu berhijrah ke Manchester City.

Kane gagal melapor diri untuk ujian kecergasan dan calitan Covid-19 seperti dijadualkan pada Isnin lalu.

Selepas menyambung cuti di Bahamas, kapten England itu dilaporkan bercuti pula di Florida sambil mendesak Spurs menjualnya kepada City yang juga juara Liga Perdana Inggeris.

Kane percaya dia memiliki perjanjian khas dengan pengerusi Tottenham, Daniel Levy yang membolehkannya dia berhijrah sebelum jendela perpindahan ditutup.

Kane berdepan denda kerana kegagalan hadir itu dan dia dijangka kembali ke kelab di utara London itu pada hujung minggu ini.

Nuno mendedahkan, penyerang berusia 38 tahun lalu yang masih memiliki kontrak tiga tahun dengan Tottenham, belum berhubung dengannya sejak bekas pengurus Wolves itu dilantik ke jawatan baharu itu, Julai lalu.

"Jawapannya, saya menjangka akan bercakap dengan Harry secepat mungkin dan setakat ini, belum ada peluang lagi," kata Nuno selepas Tottenham seri 2-2 dalam perlawanan persahabatan di Chelsea, semalam.

"Selebihnya, saya tidak mahu mengulas lanjut. Saya percaya isu berkaitan dengan Harry patut kami bincangkan secara dalaman, sesama kami dan cuba mengelak pertikaian umum atau perbincangan mengenainya.

"Kami perlu fokus kepada apa yang penting. Kami perlu menyelesaikan masalah ini, tetapi sesama kami sahaja.

"Kami selesaikan masalah dalaman dengan kelab. Bercakap dan cuba selesaikan dengan keputusan dan keputusan terbaik."

Kane menjaringkan 221 gol untuk Tottenham dan muncul penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris, musim lalu, tetapi kemarau trofi dialami Tottenham sejak 2008 menyebabkan Kane mahu menyertai kelab lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 6:12 PM