KANE dikaitkan dengan perpindahan ke Man City. FOTO Agensi
KANE dikaitkan dengan perpindahan ke Man City. FOTO Agensi
AFP

London: Harry Kane menjalani latihan bersama Tottenham Hotspur semalam dengan pengurus kelab, Nuno Espirito Santo berkata beliau akan membuat keputusan kemudian sama ada akan menurunkan kapten England itu apabila bertemu Manchester City, kelab yang dikatakan berminat mendapatkan khidmat Kane.

Pengurus City, Pep Guardiola pada minggu lalu mendedahkan juara bertahan Liga Perdana itu berminat untuk mendapatkan penyerang berusia 28 tahun berkenaan tetapi enggan memberi komen lanjut pada sidang media semalam menjelang perlawanan dengan Spurs esok.

Nuno berkata, dia sudah bercakap dengan Kane sebelum sesi latihan, kali pertama penyerang itu menyertai sesi berkenaan sejak menjalani kuarantin berikutan peraturan Covid-19 selepas pulang dari percutian di Bahamas.

"Dia menyertai pasukan, berlatih dan berlari. Sudah pasti ia adalah perbincangan secara sulit tetapi segala-galanya OK. Dia sedang mempersiapkan dirinya.

"Kami masih mempunyai sesi latihan selepas ini untuk membuat keputusan sama ada akan menurunkannya," kata Nuno pada sidang media.

Masa depan Kane menjadi isu utama untuk Nuno sejak dilantik menjadi pengurus selepas beberapa calon menolaknya.

Bekas pengurus Wales itu berkata, dia enggan ambil pusing dengan apa yang difikirkan oleh Kane menjelang perlawanan pertamanya selaku pengendali Spurs esok.

"Saya tidak mempunyai rasa bimbang untuk meyakinkan pemain beraksi di Tottenham.

"Ia adalah kelab yang besar dan sangat hebat. Kita seharusnya berbangga berada di kelab ini," kata Nuno.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 8:36 AM