IRFAN Bakti Abu Salim. FOTO Rizar Mohd Noor
IRFAN Bakti Abu Salim. FOTO Rizar Mohd Noor
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan keputusan seri 2-2 dengan Perak FC pada aksi Kumpulan B saingan Piala Malaysia di di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) malam tadi adalah keputusan yang adil walaupun pada awalnya hampir melakar kejutan.

Irfan Bakti berkata, pujian harus diberikan kepada pemain tempatan terutama anak jati Sarawak yang menunjukkan kualiti permainan yang bermutu dan mampu menyerap tekanan barisan pemain Perak FC yang lebih berpengalaman.

"Yang mendukacitakan saya adalah dua gol oleh Perak FC berpunca daripada kesilapan kita sendiri. Gol yang tidak sepatutnya dihasilkan oleh pasukan lawan iaitu berpunca daripada `hadiah' sepakan penalti dan keduanya senang sangat penyerang Perak FC menggelecek pemain import kami.

"Dalam permainan bola sepak untuk dapatkan gol bukan senang tapi itulah yang terjadi membiarkan dua gol yang saya rasa tidak sepatutnya berlaku.

"Apa yang saya lihat aksi pada babak kedua lebih tersusun apabila tahap kecergasan pemain saya mampu memperaga aksi menarik walaupun kami mengharungi aksi dalam tiga hari selepas pulang dari Kuala Terengganu tapi pemain tunjukkan komitmen tinggi dalam perlawanan malam ini (malam tadi)," katanya.

Menguias lanjut, beliau melakukan penggiilran pemain untuk berdepan skuad bimbingan Shahril Nizam Khalil dan barisan pemain muda yang diturunkan pada perlawanan itu membalas kepercayaan yang diberikan malah kelibat Adam Shreen Tambi dan Diego Baggio Test sentiasa bekerja keras beraksi pada aksi itu.

Ditanya mengenai tindakan memasukkan Joseph Kalang Tie pada pertengahan babak kedua, Irfan Bakti berkata beliau mengutamakan prestasi semasa dan Alif Hassan lebih menyerlah berbanding Joseph malah faktor umur juga memainkan peranan untuknya membuat keputusan pemain mana yang sesuai diturunkan tapi pengalaman Joseph masih diperlukan.

Tatkala saingan piala berprestij akan berehat yang panjang bagi memberi laluan untuk kalendar Fifa yang membabitkan aksi persahabatan skuad Harimau Malaysia di Jordan nanti, Irfan Bakti mengesahkan barisan pemainnya akan diberi cuti rehat selama seminggu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 12:30 PM