AKSI Dion Cools (kiri) bersama Midtjylland ketika bertemu Liverpool di saingan Liga Juara-Juara. FOTO EPA
AKSI Dion Cools (kiri) bersama Midtjylland ketika bertemu Liverpool di saingan Liga Juara-Juara. FOTO EPA
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pencarian pemain berstatus kacukan yang memiliki darah atau hubungan dengan negara ini bukan mudah dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu bijak memikirkan kaedah terbaik untuk memujuk calon itu.

Selain soal kualiti yang perlu diutamakan, pemain kacukan juga mungkin sukar untuk meninggalkan negara asal meskipun turut mempunyai pertalian darah dengan negara ini.

Menurut ejen terkenal tempatan, Effendi Jagan Abdullah, sebenarnya terdapat ramai pemain berdarah Malaysia terutama di England namun tidak semuanya mahu berhijrah apabila mereka memasang impian untuk beraksi di Eropah.

Jelas Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd itu lagi, jika ada pun pemain bersedia menyahut cabaran di negara ini, soal kualiti juga perlu dititik beratkan bagi memastikan skuad Harimau Malaya meraih manfaat daripada kehadiran mereka.

"Payah nak cari...mungkin ada, tapi standard adakah 'OK' atau pemain tempatan lebih baik. Kalau boleh kita mesti nak yang ada 'level' tinggi macam Dion Cools, Brendan Gan dan lain-lain.

"Mesti kita nak buat yang betul, jadi pemain yang setakat sama tahap dengan pemain tempatan rasanya lebih baik kita beri peluang kepada anak tempatan sahaja.

"Masalah lain pula adakah pemain kacukan itu mahu main dekat sini. Walaupun mungkin ayah dia atau ibu orang Malaysia, mungkin pemain itu nak sarung jersi negara yang satu lagi.

"Setahu saya, di liga bawahan England ramai juga pemain kacukan Malaysia. Jadi FAM kena buat kerja yang lebih lagi, kalau mahu bawa mereka," katanya kepada Arena Metro.

Berdasarkan semakan, antara pemain yang boleh dirisik oleh FAM adalah tonggak kacukan Malaysia-England, Declan Lambert dan kembarnya, Ryan Lambert untuk memperkuatkan skuad Harimau Malaya.

Kedua-dua pemain itu yang berusia 21 tahun difahamkan beraksi di sekitar Eropah dengan bermain untuk kelab divisyen dua Belanda, FC Den Bosch.

Seorang lagi yang dilihat berpotensi ialah anak bekas pemain import Sarawak, Billy Bone iaitu Samuel Bone yang kini beraksi di Liga Ireland, St Patrick Athletic.

Samuel yang dilahirkan di Kuching, Sarawak adalah bekas pemain dari akademi bola sepak Charlton dan mampu beraksi di dua posisi sebagai pemain pertahanan dan pemain tengah.

Terdahulu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan untuk membekukan seketika projek naturalisasi dan sebaliknya memberi sepenuh tumpuan untuk mencari lebih ramai pemain kacukan bagi menyarung jersi Harimau Malaya selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 9:29 PM