Kobe secara rasmi diumumkan pemain baharu Peterborough United yang beraksi di Liga Kejuaraan England.
Kobe secara rasmi diumumkan pemain baharu Peterborough United yang beraksi di Liga Kejuaraan England.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Calon tonggak kacukan negara, Kobe Jae Chong sah menyertai Peterborough United yang beraksi dalam Liga Kejuaraan yang juga divisyen dua England.

Kobe, 20, yang berdarah campuran Malaysia-Jamaica sebelum ini menjalani sesi pemilihan bersama kelab dan akhirnya berjaya menambat hati barisan kejurulatihan dengan mengikat kontrak selama semusim.

Perkembangan itu nyata menggembirakan peminat bola sepak tanah air termasuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang sebelum ini menegaskan akan terus memburu pemain-pemain berdarah kacukan sementara projek naturalisasi pula dibekukan.

Malah, Kobe yang pernah 'dilamar' badan induk bola sepak negara itu mengakui bersedia untuk menabur bakti buat skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa selepas ini.

Dia yang beraksi di posisi tengah juga dilihat cukup patriotik apabila turut meletakkan bendera Malaysia di bio Twitternya sedangkan dia belum lagi pernah menyarung jersi Harimau Malaya.

Untuk rekod, Kobe sebenarnya pernah dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan pada Mac lalu namun terpaksa melupakan hasrat berkenaan disebabkan isu kuarantin ekoran pandemik Covid-19.

Kini dengan kejayaannya meraih kontrak bersama Peterborough United itu, sudah pastinya sentuhan Kobe ditagih oleh pengendali negara Tan Cheng Hoe khususnya menjelang aksi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadualkan berlangsung pada Februari depan.

Menerusi laporan Arena Metro Jumaat lalu, sekurang-kurangnya terdapat tiga pemain kacukan di Eropah yang boleh dirisik oleh FAM termasuk tonggak kacukan Malaysia-England, Declan Lambert dan kembarnya, Ryan Lambert.

Kedua-dua pemain itu yang berusia 21 tahun difahamkan beraksi di sekitar Eropah dengan bermain untuk kelab divisyen dua Belanda, FC Den Bosch.

Seorang lagi yang dilihat berpotensi ialah anak bekas pemain import Sarawak, Billy Bone iaitu Samuel Bone yang kini beraksi di Liga Ireland, St Patrick Athletic.

Samuel yang dilahirkan di Kuching, Sarawak adalah bekas pemain dari akademi bola sepak Charlton dan mampu beraksi di dua posisi sebagai pemain pertahanan dan pemain tengah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 10:37 PM