LEGENDA bola sepak negara, Datuk Soh Chin Ann. FOTO Arkib NSTP
LEGENDA bola sepak negara, Datuk Soh Chin Ann. FOTO Arkib NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Legenda skuad Harimau Malaya, Datuk Soh Chin Ann diiktiraf Fifa sebagai pemegang rekod terbanyak penampilan antarabangsa dengan 195 penampilan.

Rekod itu berjaya mengatasi catatan Bader Al Mutawa dari Kuwait yang mengumpul 185 caps, disusuli Ahmed Hassan dari Mesir (184 caps) dan Ahmed Mubarak dari Oman (180 caps).

Manakala satu-satunya pemain masih aktif yang berada dalam kelompok 10 pemain dengan caps terbanyak ialah Cristiano Ronaldo yang mengumpul 173 caps sehingga Mac 2021.

Chin Ann atau dikenali dengan panggilan Tauke mengakui terkejut, terharu dan gembira apabila pencapaiannya selama 15 tahun menabur bakti bersama pasukan negara mendapat pengiktirafan dunia khususnya daripada Fifa.

"Terima kasih Fifa dan FAM atas pengiktirafan ini. Saya berasa cukup terharu atas pengesahan rekod ini.

"Penghargaan itu antara pencapaian tertinggi pernah dicapai apatah lagi penghargaan itu hadir daripada badan induk bola sepak dunia itu.

"Walaupun FAM pernah mencatat jumlah penampilan saya sebanyak 252 caps, saya percaya ia termasuk semua perlawanan persahabatan menentang kelab luar serta saingan luar pertandingan anjuran Fifa.

"Menjadi pemain dengan jumlah penampilan paling banyak dunia adalah penghargaan tertinggi buat saya," katanya yang pernah membawa Harimau Malaya beraksi di pentas Olimpik Munich 1972 yang berlangsung di Jerman Barat.

Untuk rekod, Chin Ann mula mewakili negara di Piala Raja Thai 1969 dan menamatkan kerjaya pada pusingan kelayakan Piala Asia 1984 di Kolkata, India.

Sepanjang tempoh berkenaan, beliau beraksi di bawah beberapa jurulatih termasuk Peter Velappan, Dave Maclaren, Jalil Che Din, Abdul Ghani Minhat, M Chandran, M Kuppan, Chow Kwai Lam, Mohamad Bakar, Mohamed Che Su, Karl Weigang dan Frank Lord.

Malah, beliau pernah menghadiahkan pingat gangsa Sukan Asia 1974 serta penampilan di pusingan akhir Piala Asia 1980 di Kuwait selain membantu Malaysia layak ke Sukan Olimpik 1980 sebelum kerajaan memboikot temasya itu.

Terdahulu, Fifa mengesahkan status Chin Ann dalam keanggotaan Kelab Abad Fifa atau Fifa Century Club yang dikhaskan untuk pemain yang mencatat 100 penampilan antarabangsa ke atas.

Selain Chin Ann, tiga lagi bekas pemain negara iaitu Zainal Abidin Hassan, mendiang Datuk M Chandran dan Datuk Santokh Singh adalah anggota terbaharu dari Malaysia yang menyertai senarai berprestij itu berasaskan statistik rasmi Fifa dengan kerjasama RSSSF.

Terdahulu tiga legenda - Datuk Abdul Shukor Salleh (163 caps), Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari (138 caps) dan mendiang Datuk R.Arumugam (131 caps) – diberi pengiktirafan menganggotai Kelab Abad Fifa.

Zainal Abidin pula menyifatkan pengiktirafan itu sebagai satu penghormatan dirinya dan pemain lain yang bertungkus-lumus beraksi di pentas antarabangsa.

"Bukan mudah untuk diisytiharkan sebagai anggota senarai pemain yang mengumpul 100 caps di peringkat dunia.

"Saya menganggap ia sebagai ganjaran kepada pengorbanan serta khidmat bakti saya sepanjang hampir dua dekad mewakili negara," katanya yang mencatat 170 penampilan mengikut rekod FAM, bermula dari Pestabola Merdeka 1980 sehingga Sukan SEA 1997, termasuk empat kali penyertaan dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 1985, 1989, 1993 dan 1997.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 5:11 PM