Zainal Abidin Hassan
Zainal Abidin Hassan
Nazri Abu Bakar


Melaka: Legenda bola sepak negara, Zainal Abidin Hassan yakin pasukan bola sepak Harimau Malaya mampu beraksi di pentas Piala Dunia pada satu masa nanti.

Dia yang tersenarai sebagai Ahli Kelab Abad Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) berkata, keyakinannya itu berdasarkan skuad bola sepak negara pernah menjadi pasukan gergasi Asia suatu ketika dahulu.

Bagaimanapun, perjuangan kental dan kesungguhan tinggi perlu menjadi azimat berharga dalam diri generasi muda dengan sokongan berterusan semua aspek untuk menyaksikan impian itu akhirnya mampu menjadi kenyataan.

"Sudah semestinya harapan dan impian saya juga peminat bola sepak tempatan mahu melihat skuad bola sepak negara beraksi di pentas Piala Dunia. Ia tidak mustahil untuk dicapai kerana suatu ketika dahulu kita adalah pasukan gergasi dari Asia.

"Justeru, saya berharap lebih ramai pemain dapat berbakti untuk negara dengan sepenuh hati untuk membolehkan kita mencapai ke satu tahap yang lebih tinggi dalam merealisasikan impian seluruh rakyat," katanya.

Sementara itu, dia menganggap pencapaiannya tersenarai dalam Kelab Abad Fifa dan setanding jaguh bola sepak dunia sebagai satu pengiktirafan dan anugerah terbesar pernah diterimanya.

Apapun, banyak pengorbanan yang dilakukan sepanjang kerjayanya terutama memerlukan fokus dan semangat juang yang tinggi dengan beraksi sepenuh hati.

Menurutnya, dalam masa sama dia menghargai semua pihak yang membantunya sehingga mencapai ke tahap terbabit selain dia turut mengucapkan tahniah kepada semua legenda yang mendapat pengiktirafan berkenaan.

Kemaskini terbaharu Fifa menyaksikan Zainal bersama-sama Datuk Soh Chin Ann, Datuk Santokh Singh dan mendiang Datuk M Chandran disenaraikan sebagai ahli terbaharu Kelab Abad yang dikhaskan untuk pemain yang mencatat 100 penampilan antarabangsa ke atas.

Zainal yang juga Ketua Jurulatih Kelab Bolasepak Melaka United diiktiraf selepas membuat penampilan sebanyak 116 kali bersama negara di peringkat antarabangsa.

Dia beraksi di pelbagai peringkat dan kejohanan seperti Kelayakan Piala Dunia, Kelayakan Piala Asia, Sukan Sea, Pesta Bola Merdeka selain persahabatan antarabangsa.

Malah cemerlang mewakili Selangor dan Pahang selain meraih pelbagai kejuaraan termasuk Piala Malaysia, Piala Liga Piala FA dan Liga Perdana serta pernah beraksi bersama legenda bola sepak negara yang lain antaranya Allahyarham Mokhtar Dahari, Datuk Soh Chin Ann dan Datuk Santokh Singh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 6:20 PM