UCAPAN tahniah Ketua Menteri Melaka kepada Datuk Soh Chin Ann.
UCAPAN tahniah Ketua Menteri Melaka kepada Datuk Soh Chin Ann.
Nazri Abu Bakar


Melaka: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menyifatkan kejayaan Datuk Soh Chin Ann menerima pengiktirafan tempat pertama dalam Kelab Abad Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) sebagai pembakar semangat semua ada muda di negeri ini menggapai impian masing-masing.

Ia selepas anak jati Alor Gajah itu menjadi pemain yang memiliki kap antarabangsa terbanyak dengan mencatat 195 penampilan sepanjang 15 tahun menyarung jersi kebangsaan.

Rekod itu berjaya mengatasi catatan Bader Al Mutawa dari Kuwait yang mengumpul 185 kap, disusuli Ahmed Hassan dari Mesir (184 kap) dan Ahmed Mubarak dari Oman (180 kap).

Justeru, dia merakamkan ucapan tahniah kepada legenda bola sepak negara terbabit yang juga anak jati negeri Melaka di atas pengiktirafan dalam Kelab Abad Fifa.

"Lebih membanggakan Malaysia khususnya rakyat Melaka, bekas pemain berusia 71 tahun ini turut dinobatkan sebagai pemilik kap (penampilan) antarabangsa terbanyak dengan 195 penampilan sepanjang 15 tahun menyarung jersi kebangsaan.

"Antara sentuhan Chin Ann yang dikenang ialah kejayaan beliau membantu negara layak ke temasya Olimpik pada 1972 dan 1980, walaupun negara menarik diri dari temasya tahun 1980," katanya.

Menerusi kenyataan di laman Facebooknya, Sulaiman percaya kejayaan Chin Ann dapat menyuntik semangat anak muda lain untuk sama-sama bangkit berjuang menggapai impian dalam apa sahaja bidang diceburi.

"Nyatalah, usaha yang bersungguh-sungguh ini akhirnya mendapat pengiktirafan antarabangsa," katanya.

Selain Chin Ann, turut tersenarai dalam kemas kini terbaharu Fifa ialah Ketua Jurulatih Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC), Zainal Abidin Hassan serta mendiang Datuk M Chandran dan Datuk Santokh Singh.

Manakala satu-satunya pemain masih aktif yang berada dalam kelompok 10 pemain dengan kap terbanyak ialah Cristiano Ronaldo yang mengumpul 173 kap sehingga Mac 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 4:55 PM