Datuk Soh Chin Ann. FOTO Nazri Abu Bakar
Datuk Soh Chin Ann. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: Legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Ann menganggap penganugerahan Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira kepadanya sempena Sambutan Hari Jadi ke-72 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam hari ini sebagai anugerah kepada semua penggiat sukan.

Selain Chin Ann turut menerima anugerah lain dalam kalangan ahli sukan termasuk pemain badminton negara Aaron Chia Teng Fong dan Naib Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia, Ahmad Janius Abdullah yang dianugerahkan Bintang Cemerlang Melaka.

Chin Ann berkata, anugerah terbabit baginya hadiah kepada penggiat sukan dan dia berterima kasih atas penganugerahan yang diberikan.

Baginya, atlet harus terus bekerja keras dalam lapangan masing-masing bagi meraih pencapaian terbaik atas perjuangan sejati mengharumkan nama negara.

Katanya, biasanya anugerah dan penghormatan akan hadir selepas pencapaian direkodkan dan apa yang utama atlet perlu terus berusaha gigih untuk mencatat kecemerlangan tanpa memikirkan sebarang bentuk ganjaran.

"Pelbagai insentif yang disediakan kepada atlet termasuk mereka yang mencapai kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa mampu menjadi motivasi tinggi untuk mereka berjuang habis-habisan.

"Sehubungan itu, ia juga mewujudkan persaingan sihat bagi pembentukan pelapis muda sekali gus meningkatkan keazaman dan kesungguhan masing-masing memperolehi tempat di pentas olimpik dan dunia," katanya.

Bekas kapten skuad kebangsaan itu sebelum ini menerima pengiktirafan tempat pertama dalam Kelab Abad Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) selepas anak jati Alor Gajah itu menjadi pemain yang memiliki kap penampilan antarabangsa terbanyak dengan mencatat 195 penampilan sepanjang 15 tahun menyarung jersi skuad kebangsaan.

Rekod itu berjaya mengatasi catatan Bader Al Mutawa dari Kuwait yang mengumpul 185 kap, disusuli Ahmed Hassan dari Mesir (184) dan Ahmed Mubarak dari Oman (180).

Chin Ann membantu negara layak ke temasya Olimpik pada 1972 dan 1980, walaupun negara menarik diri dari temasya tahun 1980.

Sementara itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) malam tadi, memaklumkan Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka akan berlangsung selepas negeri itu memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Selain itu, faktor keselamatan dan kesihatan umum juga diambil kira sebagai faktor penangguhan istiadat itu demi melindungi nyawa rakyat dan mengelakkan krisis kesihatan yang lebih teruk.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 5:56 PM