KUALA LUMPUR 25 APRIL 2016. Datuk Soh Chin Aun (skuad Olimpik 1972). NSTP/EMAIL
KUALA LUMPUR 25 APRIL 2016. Datuk Soh Chin Aun (skuad Olimpik 1972). NSTP/EMAIL
Oleh Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Hampir empat dekad berlalu selepas persaraannya, baru kini Datuk Soh Chin Ann merasai pengiktirafan dunia terhadapnya yang ditabal sebagai pemain paling banyak beraksi pada peringkat antarabangsa.

Sebelum ini, pelbagai nombor diberikan kepadanya. Ada yang menyatakan jumlah penampilannya bersama skuad Harimau Malaya sebanyak 252 kali, ada yang melaporkan 222 perlawanan, ada juga yang mengira 219 kali.

Namun jumlah besar itu diragui kerana ia termasuk perlawanan bukan kelas A apatah lagi sebelum ini Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) tidak mengiktiraf temasya Sukan Olimpik sebagai kejohanan mereka.

Bagaimanapun, akhirnya pada awal bulan lalu, nama Chin Ann tiba-tiba meletup apabila berada di puncak dunia dalam senarai teratas Kelab Abad Fifa (Fifa Century Club), satu penghormatan eksklusif terhadap pemain yang mewakili negara mereka sekurang-kurangnya 100 perlawanan.

Hasil kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan rakan Fifa, RSSSF (The Record Sport Soccer Statistics Foundation) bagi memeriksa semula data perlawanan, Chin Ann diumumkan mewakili negara sebanyak 195 perlawanan bagi aksi rasmi.

Rakan seperjuangannya, Datuk Abdul Shukor Salleh (163), Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari (138), mendiang Datuk R Arumugam (131), Zainal Abidin Hassan (116), mendiang Datuk M Chandran (115) dan Datuk Santokh Singh (100) turut berada dalam senarai itu.

"Terima kasih tidak terhingga kepada FAM kerana menjadikan semua ini satu kenyataan. Bagi saya ia satu penghormatan yang tidak ternilai sekalipun saya tidak tahu apa-apa ketika zaman bermain dulu.

"Lagipun, dulu tidak ada pengiktirafan Kelab Abad Fifa ini," kata Chin Ann yang bersara pada 1984 dan kini berusia 71 tahun. Tampil kali pertama pada aksi antarabangsa pada kejohanan Piala Raja Thai 1969 ketika berusia 19 tahun, pertahanan tengah berasal dari Melaka yang pernah menerima julukan Tauke beraksi mantap mengemudi benteng pertahanan negara di depan penjaga gol, Arumugam.

Beliau beraksi untuk Malaysia dua kali, pertamanya pada temasya Sukan Olimpik Munich 1972 sebelum mengemudi kejayaan mengungguli pusingan kelayakan Olimpik Moscow 1980 walaupun akhirnya Malaysia memutuskan memboikot temasya itu kerana pembabitan Rusia dalam peperangan di Afghanistan.

Muncul satu-satunya pemain yang berada dalam skuad Olimpik 1972 dan 1980 namun baginya saat paling manis dalam kariernya adalah memenangi pingat gangsa pada temasya Sukan Asia Teheran 1974 di bawah kendalian jurulatih Jalil Che Din.

Chin Ann terkenal dengan larian pantas selain kualiti kepemimpinan dimilikinya di tengah padang dan sesekali menerobos masuk ke dalam kotak penalti lawan untuk membantu bahagian serangan mencari gol.

Selain beraksi 195 perlawanan yang diiktiraf Fifa, beliau turut menjaringkan 13 gol bersama skuad kebangsaan, kali terakhir ketika bertemu New Zealand pada satu perlawanan persahabatan di Christchurch pada awal 1984.

Beliau menjadi kapten skuad negara dari 1975 hinggalah ke perlawanan terakhirnya pada hujung 1984. Ditanya mengenai sambutan Hari Kebangsaan, Chin Ann berkata, rakyat berbilang kaum di negara ini perlu saling menghormati antara satu sama lain bagi mengekalkan keharmonian.

"Bagi saya, dalam situasi Covid-19 sekarang, apa yang kita boleh buat adalah memasang bendera di rumah masing-masing untuk meraikan Hari Kebangsaan. Tapi apa yang penting, kita hidup dalam suasana harmoni dan hormat-menghormati antara satu sama lain," katanya.

Hari Kebangsaan pada zamannya juga sinonim dengan Pestabola Merdeka, kejohanan bola sepak jemputan tertua di Asia yang diadakan kebiasaannya pada Ogos.

"Kalau kita anjurkan Pestabola hari ini pun, pasukan gergasi seperti Korea Selatan tidak mahu menghantar pasukan utama mereka. Akhirnya kita hanya mampu mengundang pasukan kelab luar negara yang kurang mendapat perhatian peminat tempatan. Apa gunanya kita menganjurkan kejohanan tanpa penonton yang ramai," katanya.

Nama pemain legenda ini pernah disalah eja oleh media. Akhbar di Malaysia dan Singapura menulis namanya sama ada Chin Aun atau Chin Ann tanpa ada sebarang keseragaman.

"Apabila saya memberitahu ejaan nama saya yang betul kepada rakan media, mereka hanya buat tak tahu. Mungkin mereka berasakan Ann seakan-akan nama perempuan. Jadi, ejaan nama Chin Aun kekal," katanya dipetik sebelum ini.

Beliau juga pernah bertanding bagi kerusi Parlimen Kota Melaka pada Pilihan Raya Umum 1986 atas tiket Barisan Nasional (MCA) namun tewas di tangan Lim Guan Eng dari DAP. Ternyata legasinya tidak lain dan tidak bukan adalah bola sepak.

Soh Chin Aun.
Soh Chin Aun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 7:01 AM