ARTETA (kiri) lega berjaya membawa White ke Emirates. FOTO Ihsan Arsenal.com
ARTETA (kiri) lega berjaya membawa White ke Emirates. FOTO Ihsan Arsenal.com
AFP

London: Arsenal menandatangani pertahanan England, Ben White dari Brighton selepas perkara itu diumumkan oleh kelab London berkenaan pagi tadi.

Pemain berusia 23 tahun itu yang juga berada dalam skuad England di Euro 2020 baru-baru ini, sudah melengkapkan ujian perubatan.

Walaupun tidak menyatakan jumlah bayaran dan juga tempoh kontrak, media Britain mendedahkan perpindahan White ke kelab yang berpangkalan di ibu negara England itu adalah sebanyak £50 juta (RM293 juta).

"Ben adalah sasaran utama kami dan ia sangat luar biasa kami sudah melengkapkan perpindahan ini.

"Ben dibentuk oleh dua kelab yang hebat, Brighton dan Leeds sejak beberapa musim kebelakangan ini.

"Dia berjaya mengambil kesempatan bersama barisan jurulatih terbaik di dua kelab berkenaan dan membuktikan bakat yang dimiliki ketika beraksi dengan Brighton serta semasa dipinjamkan kepada Leeds," kata pengurus Arsenal, Mikel Arteta.

White beraksi sebanyak 36 perlawanan bersama Brighton musim lalu.

"Kami sangat berbangga dengannya dan apa yang sudah dicapai, pujian harus diberikan kepada akademi kami, memainkan peranan penting dalam membentuk Ben ketika di usia muda," kata pengurus Brighton, Graham Potter.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 9:20 AM