PEMAIN Kelantan FC,  Muhammad Haziq Mohd Subri  (baju merah) menanduk bola sambil diasak pemain lawan pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
PEMAIN Kelantan FC, Muhammad Haziq Mohd Subri (baju merah) menanduk bola sambil diasak pemain lawan pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Amalina Alias


KOTA BHARU: Ketua Jurulatih TRW Kelantan FC, Margo Ragini berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan anak buahnya meskipun tewas tipis 2-1 kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), petang semalam.

Ragini berkata, sejujurnya beliau dan pasukan yakin mampu menang di tempat sendiri dan meraih tiga mata dalam perlawanan itu.

Namun katanya, gol kedua PDRM menjelang minit akhir wisel ditamatkan nyata memberi tuah kepada pelawat.

"Masa kedua kita bermain lebih baik dan saya percaya kita boleh kutip tiga mata kerana pemain sangat yakin dan saya sangka kita akan menang, namun apa yang penting kita memahami kesilapan yang dilakukan.

"Kita juga perlu kekal positif untuk perlawanan akan datang," katanya dalam sidang media selepas perlawanan Liga Perdana di Stadium Muhammad IV,Kota Bharu.

Jurulatih daripada Itali itu berkata, dia juga gembira dengan tahap kecergasan anak buahnya walaupun ramai yang mengalami masalah kecederaan sehingga mampu bertahan 90 minit perlawanan.

Katanya, fokus kini diberikan kepada perlawanan menentang pasukan Terengganu FC (TFC) yang kini menduduki carta ketiga liga.

"Sabtu ini, kita harus caj bateri dari segi fizikal dan lebih penting dari segi mental kerana perlawanan ini bagi saya lebih sukar kerana mereka (lawan) adalah pasukan terbaik liga," katanya.

Bagi Ketua Jurulatih PDRM, Wan Rohaimi Wan Ismail, kejayaan menewaskan Kelantan adalah usaha yang berbaloi dan wajar diberikan kredit kepada semua pemain yang berusaha keras.

Katanya, bagaimanapun pihaknya masih perlu berpijak di bumi nyata dan bekerja keras hingga tamat liga bagi mengukur kedudukan sebenar prestasi pasukan.

"Kita masih hadapi masalah sama jentera serangan masih tumpul, kalau tengok tadipun (perlawanan petang semalam), kita cipta peluang tapi dikecewakan dengan penyudah yang lemah, jadi kita masih tercari-cari faktor 'kill the game' yang kita tiada," katanya.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, faktor memasukkan pemain import, Bruno Suzuki bukan salah satu perancangannya walaupun kehadiran kacukan Brazil-Jepun itu menjadi faktor kemenangan PDRM, semalam.

Katanya, pemain itu sebenarnya masih bergelut dengan kecederaan namun masih dalam keadaan cergas.

"Kemasukan Bruno sebenarnya bukan perancangan istimewa tapi sehingga minit ke 50 apabila pemain-pemain saya macam dah hilang punca, saya perlukan suntikan baru, jadi saya masukkan Bruno dan alhamdulillah nampaknya berhasil dan kita berjaya kutip tiga mata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 1:08 PM