Pemain Kelantan meraikan kemenangan ke atas Kuching City FC, pada aksi Liga Perdana. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Pemain Kelantan meraikan kemenangan ke atas Kuching City FC, pada aksi Liga Perdana. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Pengendali Kelantan FC, Marco Ragini menyifatkan gol tunggal mereka pada aksi Liga Perdana menentang Kuching City FC semalam sebagai pengorbanan buat peminat bola sepak tempatan.

Katanya, ini kerana pemainnya termasuk juga pasukan lain berada dalam keadaan letih kerana jadual perlawanan yang terlalu padat.

Beliau berkata, atas faktor itu juga dia tidak menyalahkan pemain kerana dilihat mempamerkan aksi longlai dalam saingan semalam.

"Saya tahu tahap konsisten mereka sangat rendah sebelum sepak mula perlawanan lagi, cuma kami usaha menang dan anggap ini pengorbanan.

"Kami bermain tiga perlawanan dalam tempoh dekat, ini bahaya untuk kesihatan pemain, setiap kali perlawanan kami hilang dua ke tiga pemain (akibat kecederaan), perkara sama berlaku kepada pasukan lain," katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.

Jurulatih dari Itali itu berkata, pihaknya harus mencari formula yang tepat bagi mengatasi keadaan itu dengan membuat beberapa pertukaran tanpa menggunakan mereka untuk tempoh 90 minit perlawanan.

Katanya, untuk semalam sahaja, enam pemain mengalami kecederaan dan jumlah itu adalah ramai untuk difikirkan bagi diletakkan di ke sebelas utama dalam perlawanan akan datang.

"Untuk babak kedua, solusi yang diambil adalah kita terpaksa bertukar-tukar pemain, mereka (pemain) sudah memberikan persembahan maksimum, kita harus tunggu kecergasan mereka pulih," katanya.

Ragini berkata, faktor kecederaan turut mengheret pemain, Norshamil Abd Ghani yang meledak tiga gol musim ini untuk direhatkan dalam perlawanan semalam.

Tambahnya, jika Shamil masih beraksi, dia akan berisiko untuk kehilangan pemain itu bagi musim ini.

"Pasukan medik dan pengurusan cuba sedaya upaya untuk memulihkan pemain yang cedera dalam tempoh singkat, namun kita tahu ia adalah mustahil.

"Jadi harini (semalam) bila dapat tiga mata, saya gembira, kemenangan ini dikongsi dengan peminat.

"Kami memerlukan sokongan peminat sama ada bermain di laman sendiri atau tempat lawan, kita dapat sokongan padu pengurusan, pemain, pemilik (Norizam Tukiman) untuk terus bertahan, jadi kami perlukan sokongan padu juga daripada peminat untuk dapatkan kedudukan teratas liga," katanya.

Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih Kuching City FC, Sulaiman Hussin berkata, dalam setiap perlawanan apabila bermain, haruslah pemain ingin menjaringkan gol namun perkara itu tidak berlaku kepada pasukannya, semalam.

Katanya, meskipun pasukannya dilihat lebih bermain dengan 'cantik' dan menguasai permainan namun kelebihan gol berpihak kepada pasukan tuan rumah.

"Dalam bola sepak, siapa yang ambil kesempatan akan menang. Kita banyak peluang tapi tak jaringkan gol, kesudahannya Kelantan menang," katanya.

Jaringan tunggal Kelantan FC, menerusi Natanael Siringo Ringo semalam sudah cukup memberikan kemenangan kepada skuad pantai timur itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 11:36 AM