PENYERANG Brazil, Richarlison (kanan) berebut bola dengan pemain pertahanan Arab Saudi, Khalifah al-Dawsari pada perlawanan dimenangi Brazil 3-1 di Tokyo 2020, hari ini. FOTO AFP
PENYERANG Brazil, Richarlison (kanan) berebut bola dengan pemain pertahanan Arab Saudi, Khalifah al-Dawsari pada perlawanan dimenangi Brazil 3-1 di Tokyo 2020, hari ini. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Richarlison meneruskan prestasi cemerlang di Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila dua jaringannya memastikan Brazil mara ke suku akhir bola sepak lelaki hasil kemenangan 3-1 ke atas Arab Saudi, hari ini, manakala Jerman tersingkir.

Brazil turun selaku juara bertahan selepas menang pingat emas di tanah air sendiri di Olimpik Rio de Janeiro 2016, lima tahun lalu, menduduki tempat teratas Kumpulan D dan akan bertemu naib juara Kumpulan C di suku akhir, Sabtu ini.

Matheus Cunha meletakkan mereka di depan pada aksi di Saitama, hari ini, tetapi jaringan Abdulelah Al-Amri membolehkan Arab Saudi menyamakan kedudukan.

Keputusan seri sudah memadai buat Brazil mara selaku juara kumpulan, tetapi Richarlison menjaringkan dua gol pada minit ke-76 dan masa kecederaan.

Penyerang Everton itu kini mendahului senarai penjaring kejohanan dengan lima gol selepas hatrik ketika menewaskan Jerman.

Jerman yang menang perak di Rio 2016, tersingkir selepas seri a 1-1 dengan Ivory Coast, yang akan berdepan juara Kumpulan C di suku akhir.

Jerman hampir mencapai kemenangan, tetapi gol sendiri Benjamin Henrichs pada pertengahan babak kedua jelas memusnahkan impian mereka.

Eduard Lowen menyamakan kedudukan tidak lama kemudian, tetapi pemain Ivory Coast kekal bertahan untuk menduduki tempat kedua Kumpulan D.

Korea Selatan pula menjuarai Kumpulan B selepas menang 6-0 ke atas Honduras yang bermain dengan 10 pemain, diikuti naib juara kumpulan, New Zealand yang seri tanpa jaringan dengan Romania.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 8:48 PM