CHENG Hoe akui apa-apa keputusan pemain kena fokus dan bersedia. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
CHENG Hoe akui apa-apa keputusan pemain kena fokus dan bersedia. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Rombakan format saingan Piala AFF disambut baik pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang melihat langkah berkenaan tepat untuk menghindarkan pasukan daripada terdedah dengan pandemik Covid-19.

Difahamkan, Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) bercadang untuk melangsungkan aksi Piala AFF hujung musim ini di gelanggang neutral secara karnival dengan dua negara akan diumumkan sebagai tuan rumah untuk aksi peringkat kumpulan.

Malah, saingan separuh akhir yang biasanya dijalankan secara timbal balik bakal menyaksikan perubahan dengan aksi kalah mati akan dilangsungkan termasuk aksi final.

Mengulas perkara terbabit, Cheng Hoe mengakui ada mendengarnya dan maklumat secara rasmi akan dimaklumkan dalam masa terdekat oleh penganjur di mana undian rasmi bakal diadakan 10 Ogos ini.

"Kita kena bersedia (format baru) kerana kita tahu situasi Covid-19 ini memang sukar, mana-mana negara pun agak sukar nak bagi keluar dan masuk macam format timbal balik yang dulu.

"Jadi sebab itu format baru ini diperkenalkan dan kita kena ikutlah. Situasi kes pun meningkat sekarang dan masih tak stabil. Apa keputusan pun kita kena bersedia dan pemain kena fokus selalu walaupun apapun keadaan," katanya kepada Arena Metro.

Mengikut jadual asal, Piala AFF sepatutnya diadakan pada hujung tahun lalu sebelum ditunda ke April hingga Mei lalu, namun AFF menangguhkan pertandingan serantau itu buat kali kedua ekoran peningkatan kes Covid-19 di beberapa buah negara Asean.

Ia kemudiannya disusun semula dengan saingan dua tahun sekali itu mengambil tempat dari 5 Disember hingga 1 Januari ini.

Pada undian itu nanti, sebanyak lima pasukan akan dibahagikan kepada 2 kumpulan dengan Malaysia yang hadir selaku naib juara edisi lalu dijangka berada dalam balang dua bersama Indonesia.

Manakala, jaguh rantau ini yang juga juara bertahan Vietnam dalam balang satu bersama Thailand yang menduduki ranking lebih tinggi berbanding Harimau Malaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 11:58 PM