CHENG Hoe turut akui India semakin menunjukkan peningkatan. FOTO AZHAR RAMLI
CHENG Hoe turut akui India semakin menunjukkan peningkatan. FOTO AZHAR RAMLI
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya mampu menarik nafas lega apabila Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) secara rasmi mengesahkan aksi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 ditunda daripada jadual asal pada Februari kepada Jun tahun depan.

Malah, undian kumpulan yang sepatutnya berlangsung akhir bulan ini ditunda pada Februari tahun depan.

Perkembangan itu sekali gus menghadirkan berita gembira buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang berpeluang untuk memperbaiki kedudukan ranking Fifa, dengan memanfaatkan dua jendela aksi antarabangsa pada November dan Januari depan.

Berdasarkan kedudukan ranking semasa, Malaysia berada dalam balang tiga dan jika berjaya meraih keputusan positif dalam dua jendela perlawanan antarabangsa itu, kemungkinan skuad negara mampu mengelak berada sekumpulan dengan pasukan terkuat.

Mengulas mengenai perkara itu, Cheng Hoe sendiri mengakui enggan diundi bertemu pasukan seperti Uzbekistan dan Jordan di peringkat kumpulan kelayakan itu nanti.

Katanya, keputusan aksi persahabatan dengan dua negara itu baru-baru ini jelas menunjukkan jurang ketara antara pasukan kebangsaan dengan lawan itu.

"Kalau boleh sudah tentu kita nak elak bertemu mereka (Jordan dan Uzbekistan). Kita dapat lihat bagaimana mereka bermain dengan intensiti dan transisi permainan yang cukup pantas.

"Tapi itu tidak bermakna yang kita boleh menang dengan pasukan lain…kalau ikutkan kita juga pernah lawan Kuwait, Bahrain dan kita kalah.

"India pun semakin tunjuk peningkatan begitu juga pencabar-pencabar lain. Apa yang penting kita kena fokus kepada persiapan kita dan perbaiki kelemahan sebelum kejohanan berlangsung," katanya.

Sementara itu, AFC turut mengesahkan aksi kelayakan akan diadakan secara berpusat selepas semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC bersetuju dengan perubahan format daripada timbal balik kepada secara berpusat.

Keputusan AFC itu sekaligus mengesahkan laporan Arena Metro sejak kelmarin yang bercadang merombak format berkenaan selepas beberapa negara di dapati masih lagi menutup pintu sempadan.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) antara yang terawal menyatakan hasrat untuk membida hak tuan rumah kelayakan Piala Asia itu pada tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 6:10 PM