Cheng Hoe (kiri) ingatkan pemain agar konsisten dalam Liga Malaysia. FOTO NSTP
Cheng Hoe (kiri) ingatkan pemain agar konsisten dalam Liga Malaysia. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


BARISAN pemain skuad Harimau Malaya yang menghadiahkan tiket ke pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 selepas melepasi halangan Timor Leste di pusingan pertama diberi peringatan untuk sentiasa mengekalkan prestasi dalam saingan Liga Malaysia.

Pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe berkata, beliau bersama pimpinan kejurulatihan negara akan memantau dan menilai prestasi pemain dari semasa ke semasa.

Katanya, tiada jaminan tempat 23 pemain akan kekal sekiranya gagal mengekalkan aksi mereka dengan Cheng Hoe bersedia membuka peluang kepada pemain lain yang menunjukkan prestasi mengagumkan.

"Kita tahu pusingan kedua nanti lebih mencabar dengan adanya pasukan terkuat akan bermain.

Saya sudah menasihati pemain supaya bersedia untuk peringkat seterusnya kerana ia bukan mudah.

"Kemungkinan besar kami akan menghadapi negara besar seperti Jepun, Korea Selatan, Arab Saudi dan Qatar. Tekanan pasti lebih tinggi.

"Amat penting pemain kekal prestasi mereka di liga supaya apabila tibanya latihan pusat akan datang, pemain sudah bersedia dengan latihan kita pun agak pendek," katanya.

Skuad Harimau Malaya yang menumbangkan Timor Leste dengan agregat 12-2 dalam aksi timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur akan menyertai 39 pasukan terbaik Asia bersaing di pusingan kedua kelayakan bermula September ini.

Majlis undian akan diadakan di Qatar bulan depan dijangka menyaksikan anak buah Cheng Hoe diletakkan dalam balang empat sekaligus memungkinkan Malaysia berada dalam kumpulan sukar bersama gergasi Asia yang akan mendominasi balang 1, 2 dan 3.

Di pusingan kedua, menyaksikan 40 pasukan akan dibahagikan kepada lapan kumpulan dengan setiap kumpulan mempunyai lima pasukan.

Juara setiap kumpulan dan empat naib juara terbaik akan layak ke peringkat terakhir kelayakan zon Asia.

Untuk rekod, Malaysia tidak pernah melangkah hingga ke pusingan terakhir zon Asia meskipun dua kali pernah merasai nikmat temasya Sukan Olimpik pada 1972 dan 1980 serta memenangi pingat gangsa Sukan Asia 1974 di Tehran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 3:05 PM