CHENG Hoe (tengah) menggalas tugas berat membimbing pasukan. FOTO Agensi
CHENG Hoe (tengah) menggalas tugas berat membimbing pasukan. FOTO Agensi
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya dijangka berdepan ranjau lebih berliku pada pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 pada tahun depan apabila saingan secara berpusat bakal digunakan selepas beberapa negara masih menutup pintu sempadan berikutan pandemik Covid-19.

Malah, Malaysia juga antara negara yang belum membenarkan acara sukan antarabangsa diadakan buat masa ini.

Lantas ini bermakna, skuad kebangsaan terpaksa terbang beraksi di negara lain yang mungkin memberi kelebihan buat tuan rumah untuk mengungguli saingan kumpulan.

Juara daripada enam kumpulan dan lima naib juara akan layak secara automatik ke Piala Asia di China pada 2023 kelak.

Menurut Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John, perubahan format kelayakan itu terpaksa dibuat dan ia sudah dicadangkan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan AFC.

"Kita sudah bincangkan mengenai perubahan format ini dan hanya menunggu kelulusan daripada Ahli Eksekutif AFC sebelum diumumkan nanti.

"Kita terpaksa ubah format di mana kalau sebelum ini, kita mungkin akan main di setiap venue tuan rumah yang berada dalam kumpulan. Tetapi kita kena ubah dan bermain secara berpusat kerana ada negara yang masih belum membuka pintu sempadan, katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, tarikh sebenar undian peringkat kumpulan dan perlawanan juga akan berubah, dengan undian dijangka pada Februari tahun depan.

"Sebelum ini kita cadang nak mulakan perlawanan peringkat kumpulan hujung Januari dan Februari. Tetapi memandangkan kita nak buat secara berpusat, jadi kita tak perlu langsungkan perlawanan awal tahun depan.

"Mungkin kita boleh jalankan pada pertengahan tahun dan undian pula pada Februari nanti," katanya.

Berdasarkan kedudukan balang undian yang disusun mengikut kedudukan ranking semasa, skuad negara diletakkan dalam balang tiga daripada empat balang dengan membabitkan 24 pasukan keseluruhan.

Jika Malaysia gagal menjadi tuan rumah, sudah pasti kelebihan buat pasukan dari balang satu seperti Jordan, Uzbekistan, Bahrain, Kyrgyzstan, Palestin dan India.

Malah, dua keputusan aksi persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan yang berlangsung di Amman, Jordan sebelum ini boleh dijadikan gambaran untuk mencongak peluang skuad kendalian Tan Cheng Hoe nanti.

Namun seandainya skuad Harimau Malaya beraksi di hadapan penyokong sendiri, kemungkinan peluang untuk meraih keputusan positif lebih cerah dengan bantuan 'pemain ke-12' terutama apabila berdepan pesaing hebat dan memiliki ranking lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 10:27 PM