CHENG Hoe tidak kisah untuk diundi dengan mana-mana pasukan dalam saingan serantau itu. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN.
CHENG Hoe tidak kisah untuk diundi dengan mana-mana pasukan dalam saingan serantau itu. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Menjelang undian Piala AFF yang akan berlangsung secara maya Selasa ini, pengendali negara, Tan Cheng Hoe mengakui tidak memilih mana-mana pasukan yang mahu dielak daripada berada sekumpulan di peringkat awal.

Cheng Hoe yang berjaya membawa skuad Harimau Malaya layak ke pentas final pada edisi 2018 lalu berkata, semua pasukan di rantau Asia Tenggara ini memiliki kekuatan dan kelebihan tersendiri yang mampu menghadirkan kejutan buat pasukan pilihan.

Justeru, beliau tidak kisah untuk diundi dengan mana-mana pasukan dalam saingan serantau itu.

"Bagi saya secara peribadi, tahap semua pasukan di rantau ini tidak jauh beza. Vietnam kita tahu sudah layak beraksi di pusingan ketiga Piala Dunia, dan itu beri mereka kelebihan dari segi permainan lebih kompetitif berbanding pasukan lain.

"Thailand pula sering muncul sebagai pasukan pilihan setiap kali Piala AFF diadakan, begitu juga dengan pesaing lain seperti Indonesia dan Singapura yang selalu jadi rival kita.

"Pasukan Filipina pula kita tahu akan diperkuatkan dengan pemain kacukan, manakala Kemboja dan Laos saya lihat semakin meningkat sementara Timor Leste pula cukup liat walaupun agregat kita besar setiap kali menang dengan mereka.

"Apa yang penting bagi saya, adalah kita kena fokus dengan persiapan kita, dan ambil satu perlawanan demi satu perlawanan dan elak lakukan kesilapan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Pada Khamis lalu, AFF mengumumkan majlis undian Piala AFF akan diadakan secara maya buat pertama kali selepas keputusan itu diambil demi memastikan keselamatan semua pihak memandangkan kes Covid-19 di beberapa negara masih tinggi.

Kedudukan balang pula menyaksikan, juara bertahan iaitu Vietnam dan bekas juara lima kali, Thailand berada dalam balang 1 diikuti Malaysia dan Myanmar pada balang 2.

Filipina dan Indonesia diletakkan dalam balang 3, manakala balang 4 pula diisi Singapura dan Kemboja manakala Laos dan pemenang antara perlawanan playoff antara Brunei dan Timor Leste di balang 5.

Pada masa sama, AFF juga dikhabarkan akan memperkenalkan format baharu di peringkat kalah mati iaitu tiada lagi perlawanan yang berlangsung secara timbal balik (Home & Away) seperti edisi terdahulu.

Pemilihan tuan rumah juga dijangka bakal diumumkan esok oleh AFF di mana saingan itu dijadualkan berlangsung dari 5 Disember sehingga 1 Januari tahun depan.Kali terakhir Piala AFF berlangsung pada 2018 dengan Vietnam muncul juara selepas menewaskan Malaysia dengan keputusan 3-2 secara agregat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 11:35 PM